Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sudah mengarahkan Golden Screen Cinemas selaku pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin untuk menarik balik dan membuat penukaran poster.

Hal ini susulan poster rasmi yang dikeluarkan sebelum ini dilihat menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya sudah berbincang dengan GSC dan mengarahkan supaya membuat penukaran kepada poster baharu.

“FINAS ambil maklum tentang isu ini dan kami minta dan mengarah GSC untuk menarik balik serta menukar poster filem ini,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, filem Sijjin terbitan Rapi Films bersama Sky Media dan Legacy Pictures mengundang kritikan masyarakat Muslim di negara ini apabila didakwa tidak sensitif dengan perkara membabitkan agama Islam.

Paparan kalimah ‘Allah’ pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk dan akan berubah menjadi ‘jin’ itu disifatkan keterlaluan, malah tidak wajar dimuatkan dalam bahan promosi filem.

Bukan itu sahaja, tayangan awal Sijjin pada 22 Disember lalu, turut menerima kritikan apabila gimik promosi filem berkenaan membawakan jenazah yang lengkap dikafankan dan dikelilingi beberapa individu memakai telekung.

Rentetan itu, rata-rata netizen beragama Islam dilihat memberi reaksi kurang senang tatkala melihat telekung dijadikan simbol seram, apatah lagi senario berkenaan dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton bukan Islam.