Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mengesahkan bahawa syarikat itu tidak terlibat dalam sebarang urusan atau hubungan perniagaan dengan Israel.
Pihaknya membuat kenyataan itu bagi menafikan dakwaan terdapat hubungan susulan penggunaan bahasa dan tulisan yang dipercayai mirip Bahasa Hebrew pada pembungkusan Gold Coin seperti yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.
Berikut adalah kenyataan yang dikongsikan oleh pihak F&N sendiri:-
“Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) telah dimaklumkan mengenai satu video yang tular di media sosial berkaitan bahasa yang digunakan pada pembungkusan produk Gold Coin keluaran kami.
Kami ingin menjelaskan bahawa produk tersebut telah dieksport secara eksklusif untuk manfaat pasaran Palestin, dan pembungkusannya dibangunkan berdasarkan keperluan tempatan seperti yang diminta oleh pelanggan kami.
Kami ingin menegaskan bahawa F&NHB tidak mempunyai sebarang urusan atau hubungan perniagaan dengan Israel. Kami berdiri seiring dengan mereka yang memperjuangkan keamanan dan keadilan.”
Dalam pada itu, pihak F&N juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memaklumkan perihal itu dan menghargai kepercayaan yang berterusan terhadap syarikat berkenaan.