Rantaian fesyen terkenal dari Amerika Syarikat, Forever 21, sekali lagi menghadapi kebankrapan buat kali kedua dalam tempoh enam tahun, lapor The Edge.

Syarikat induk operasinya di AS, F21 OpCo, telah memfailkan kebankrapan di bawah Bab 11 bagi membolehkan penutupan operasi secara teratur di pasaran Amerika.

Menurut kenyataan rasmi F21 OpCo, syarikat dan beberapa subsidiari telah memeterai perjanjian sokongan (Plan Support Agreement) dengan pemiutang bagi memulakan proses penstrukturan semula di bawah undang-undang kebankrapan AS.

Forever 21

Brad Sell, Ketua Pegawai Kewangan F21 OpCo, menyatakan bahawa persaingan sengit daripada jenama fesyen antarabangsa seperti SHEIN dan Temu, serta peningkatan kos operasi, antara punca utama jenama ini gagal bertahan.

Forever 21 vs SHEIN/Temu

Stephen Coulombe, salah seorang pegawai penstrukturan semula Forever 21, mendedahkan bahawa jenama ini terjejas teruk dengan platform e-dagang seperti SHEIN dan Temu.

Kesan daripada undang-undang  perdagangan yang membenarkan barangan bernilai bawah AS$800 (RM3,800) diimport ke AS tanpa cukai, membolehkan jenama ini menawarkan harga yang lebih murah kepada pengguna.

Masa Depan Forever 21

Melalui proses Bab 11, Forever 21 akan menjalankan jualan likuidasi di kedai-kedainya sementara mencari pembeli untuk aset-asetnya.

Forever 21

Sekiranya terdapat tawaran yang sesuai, jenama ini mungkin akan terus beroperasi dalam bentuk yang lebih kecil.

Namun, jika tiada penyelesaian, penutupan penuh operasi di AS mungkin tidak dapat dielakkan.

Brad Sell mengucapkan terima kasih kepada pekerja dan pelanggan setia Forever 21 yang telah menyokong jenama ini selama bertahun-tahun.

Forever 21

“Kami berterima kasih atas sokongan berterusan daripada rakan kongsi dan pelanggan kami, yang membolehkan kami menjadi pemimpin dalam industri fesyen,” katanya.

Saingan sengit daripada gergasi e-dagang global telah memaksa jenama besar yang sudah bertapak lama untuk perlu lebih inovatif dalam strategi pemasaran dan penawaran produk.