Toshiba, salah satu jenama gergasi industri teknologi Jepun, telah mengalami kematian yang perlahan dan kejatuhan yang mengejutkan selepas beberapa dekad menguasai pasaran elektronik global.

Pada 20 Disember 2023, jenama yang dahulunya gemilang ini telah dinyahsenarai secara rasmi daripada Bursa Saham Tokyo, menandakan pengakhiran yang menyedihkan bagi perjalanan selama 74 tahun dalam pasaran saham Jepun.

Skandal kewangan yang didedahkan pada 2015 adalah pencetus awal kepada kejatuhan Toshiba.

Krisis kewangan dan penyelewengan keuntungan sebanyak $1.59 bilion dalam tempoh tujuh tahun telah memusnahkan keyakinan orang ramai terhadap syarikat itu.

Tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan untuk menyelesaikan percanggahan ini nampaknya tidak dapat memulihkan keyakinan pelabur.

Pada tahun 2020, dilaporkan bahawa keputusan strategik dan tadbir urus syarikat turut dipersoalkan.

Siasatan yang dijalankan membawa kepada dakwaan kuat bahawa Toshiba telah bersekongkol dengan Kementerian Perdagangan Jepun, mengeksploitasi syarikat itu sebagai aset strategik untuk kepentingan negara, yang kemudian mencetuskan ketegangan dengan pelabur asing.

Konflik yang berterusan antara Toshiba dan Westinghouse Electric, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat turut memburukkan keadaan.

Perjanjian pembelian loji tenaga nuklear mengakibatkan kerugian besar buat Toshiba apabila Westinghouse Electric memfailkan muflis, meninggalkan beban kewangan yang tidak tertanggung kepada jenama Jepun tersebut.

Untuk memperbaiki keadaan kewangannya, Toshiba terpaksa menjual beberapa baris perniagaannya, termasuk sistem media, telefon mudah alih dan unit cip Memori Toshiba.

Bagaimanapun, usaha ini tidak mencukupi untuk menyelamatkan syarikat daripada muflis.

Pada 2017, Toshiba berjaya membawa masuk modal $5.4 bilion daripada pelabur asing, tetapi disebabkan konflik dalaman yang berterusan telah menghalang kemajuan jenama tersebut.

Pada Jun 2022 pula, Toshiba bersetuju untuk diambil alih oleh Japan Industrial Partners (JIP), sebuah konglomerat ekuiti persendirian Jepun.

Dengan harga pemerolehan sebanyak $14 bilion, JIP mengambil alih kebanyakan saham syarikat.

Langkah ini mendapat sokongan kerajaan tempatan, walaupun masih terdapat ketidakpastian mengenai masa depan syarikat.

Penyingkiran Toshiba daripada Bursa Saham Tokyo pada Disember 2023 adalah pengakhiran yang menyedihkan kepada era kegemilangan yang pernah mereka nikmati.

Masa depan Toshiba kini bergantung kepada usaha pemulihan JIP dan cara syarikat itu membaiki reputasinya.

Namun, satu perkara yang pasti, kejatuhan Toshiba akan terus diingati sebagai peristiwa tragis dalam sejarah industri teknologi Jepun.

Sumber