Pada minggu lalu Jabatan Insolvensi (MDI) mendedahkan kira-kira 50 selebriti masih kekal berstatus muflis, termasuklah penyanyi terkenal berpangkat ‘Datuk’.
Antara punca artis kekal dengan status tersebut apabila mereka enggan menemui pegawai MDI bagi membincangkan kes kebankrapan walaupun notis bankrap sudah lama dikeluarkan kepada mereka atau gagal membuat sumbangan bulanan ditetapkan pihaknya.

Baca Juga:
- Penyanyi Terkenal Berpangkat ‘Datuk’ Tersenarai 50 Selebriti Kaya Kekal Status Muflis
- Lebih 15,000 Rakyat Malaysia Muflis Kerana Pinjaman Peribadi
- Guru Muda Rela ‘Mufliskan’ Diri Gara-Gara Tak Mampu Bayar Komitmen Bulanan Tinggi
Bagaimanapun masih ramai artis berstatus muflis yang masih memaparkan kehidupan mewah di media sosial untuk tontonan para followers mereka.
Hal ini membuatkan orang ramai berasa pelik, bagaimana artis muflis seperti dilaporkan media, namun masih dapat meneruskan kehidupan mewah.
Taktik artis muflis nampak kekal mewah di media sosial

Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid, golongan artis muflis boleh berbuat sedemikian kerana mereka masih mendapat pendapatan lumayan daripada kerjaya mereka.
Bagaimanapun pendapatan tersebut dipercayai dimasukkan ke dalam akaun pihak lain bagi elak ‘dihidu’ oleh pihak MDI.
“Individu bankrap dibenar membuka satu akaun bank sahaja. Jadi, kita tidak menolak kemungkinan artis yang banyak mendapat projek seni termasuk mengadakan konsert ini menyalurkan bayaran lumayan diterima mereka kepada akaun pihak lain termasuk keluarga.
“Bagaimanapun, jika kita berjaya mengesan kes seperti ini, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terbabit kerana menyembunyikan pendapatan diperoleh,” katanya.
Tambahnya lagi, antara punca artis diisytihar bankrap disebabkan kegagalan perniagaan, pembelian hartanah mewah termasuk kenderaan dan menjadi penjamin kepada orang lain.
Dua artis rock, beberapa pelakon popular antara yang muflis

Terdahulu Datuk M Bakri Abd Majid mendedahkan ada artis yang berstatus bankrap iaitu dua penyanyi rock terkenal negara yang masih aktif dalam bidang seni dan beberapa pelakon popular enggan memberikan kerjasama dengan pihak MDI.
“Ada di antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun.
“Tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal bankrap hingga kini.
“Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, semua pihak termasuk artis perlu mengetahui bahawa status bankrap yang dikenakan itu bukan penamat kehidupan mereka.
Sebaliknya jika mematuhi arahan diberikan MDI, pengurusan kes kebankrapan menjadi mudah, sekali gus boleh dibebaskan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun jika mematuhi kriteria ditetapkan.
“Antara kriteria yang dilihat jika orang bankrap mahu dilepaskan daripada muflis ialah menjadi ‘individu bankrap yang baik’ iaitu membayar sumbangan bulanan ditetapkan tanpa culas dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan kepada MDI.
“Jika mereka masih dalam tempoh bankrap dan mahu keluar negara atas urusan rasmi atau mahu melakukan ibadah, MDI sedia menimbang permohonan itu mengikut syarat ditetapkan, tetapi malangnya ada artis menyalahgunakan kemudahan diberikan itu,” katanya.