Menjadi satu mimpi ngeri buat seseorang individu mengalami fasa bankrap kerana segala urusan kehidupan boleh terbantut. Ini termasuklah dari kesukaran mendapat pekerjaan, aset dirampas, kredit bank terhad dan perjalanan keluar negara yang terhad.

Tidak ramai yang dapat bangkit semula kerana mungkin sudah putus harapan dan sampai jalan buntu, namun musibah yang melanda ini bukanlah satu alasan buat kita untuk tidak bangkit dari kejatuhan. Hal ini kerana ada individu yang mampu membuktikan mereka juga bermula dari kosong semula sehingga bebas status bankrap.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz telah berkongsi kisah hidupnya yang pernah mengalami episod gelap apabila diisytiharkan bankrap namun berjaya bangkit semula dengan sasaran akan selesai pada tahun ini. Ia bukan suatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dicapai.

Fasa permulaan

Sumber Gambar: Blog

Untuk permulaan, Encik Hafiz berkongsi bahawa beliau merupakan seorang pengawai kerajaan, gred 44 yang mana selalu berjauhan dengan keluarga. Jadi, pada tahun 2013, beliau nekad berhenti dan bersemangat untuk memulakan perniagaan dek terpengaruh kisah- kisah indah orang berniaga dan dengar cakap kawan-kawan yang tak bertauliah.

Sebelum berhenti, beliau telah membuat pinjaman peribadi yang bernilai mencecah ratusan ribu kerana mahu dijadikan sebagai modal perniagaan.

Setelah menerima pinjaman wang itu, beliau lantas memulakan perniagaan dengan membuka sebuah kedai pada tahun 2013. Semua berjalan lancar pada tahun pertama dan tampak indah belaka.

Fasa kejatuhan

Sumber Gambar: Utusan

Masuk tahun kedua, disinilah bermula detik hitam di dalam hidup beliau apabila perniagaan tersebut mula bergoyang dek kerana tiada pengalaman berniaga serta tadbir urus yang lemah. Akhirnya, perniagaan itu terpaksa ditutup pada tahun 2015.

Dipendekkan cerita, keadaan bertambah teruk apabila sumber pendapatan sudah hilang serta isteri yang tidak bekerja (sambung belajar), dua anak kecil dan bebanan hutang yang besar.

Beliau mula jarang membayar komitmen bulanan pinjaman. Segala wang simpanan habis dalam masa singkat.

Fasa kemurungan

Sumber Gambar: Pexel

Susulan itu, beliau mula diganggu oleh pihak bank dan pengutip hutang tidak kira siang atau malam. Hal ini sekaligus menyebabkan beliau sangat stres sehingga menjurus ke tahap depresi.

Pernah terasa mahu mengambil jalan singkat untuk membunuh diri namun boleh dilawan kerana memiliki iman di dalam diri. Di sinilah, keluarga memainkan peranan yang penting dengan memberi sokongan moral serta memberi bantuan ketika di dalam krisis tersebut.

Fasa muflis

Bankrap
Sumber Gambar: saltnlightconsult.com

Selepas itu, beliau berbincang dengan rakan sekolah yang juga merupakan seorang peguam yang mana telah mencadangkan untuk membankrapkan diri supaya tidak diganggu oleh pelbagai pihak.

Beliau pun menurut nasihat itu kerana tiada pilihan lain lagi. Pada tahun 2017, beliau telah pun diisytiharkan bankrap oleh mahkamah tinggi Shah Alam di mana perlu menyerahkan diri di insolvensi dengan bekalan hutang di bahu sekitar RM350,000.

Seperti yang disangka, secara tiba-tiba dunia beliau menjadi aman tanpa sebarang gangguan dari bank dan pengutip bank.

Beliau berkongsi kelebihan orang yang sudah berstatus bankrap adalah tidak  boleh disaman serta kalis LHDN.

Fasa hijrah

Sumber Gambar: Utusan

Teringat kisah Rasullulah yang mahu menyebarkan  Islam terpaksa berhijrah dari Mekah ke Madinah. Beliau menjadi bersemangat lantas mengajak isterinya untuk berhijrah untuk mulakan hidup baru. Dari Lembah Klang, beliau pilih untuk pergi ke pantai timur.

Fasa hidup baru

Bankrap
Sumber Gambar: EH!

Di tempat serba baru, tiada kenalan, tiada kawan, tiada saudara, beliau mula mencari kerja tanpa mengira hari. Ternyata, segala usahanya hanya menemui jalan buntu kerana tiada majikan yang mahukan pekerja berstatus bankrap.

Pada mulanya memang sudah menyerah kalah, tetapi beliau memilih untuk memulakan bisnes di tepi jalan kerana isterinya yang pandai memasak.

Tetapi memikirkan secara realistiknya dengan bisnes sekecil itu mana mungkin boleh menyelesaikan hutang setinggi RM350,000. Beliau hanya pasrah dan rasa tidak boleh keluar dari bankrup sampai mata.

Bagaimanapun, beliau pada suatu hari terbaca artikel bagaimana seorang agen hartanah yang mampu mendapat komisen mencecah ratusan ribu ringgit. Terdetik di dalam hatinya, inilah jalan untuk keluar dari bankrap.

Beliau mula mencari maklumat bagaimana untuk menjadi agen hartanah. Memandangkan kelayakan untuk menjadi agen hartanah bertauliah (REN) adalah perlu pergi kursus yang bernilai RM600, jadi beliau terpaksa pajak barang kemas isterinya dan berjanji akan menebus balik.

Fasa bangkit

Sumber Gambar: Hasrul Hassan

Selepas tamat kursus dan daftar dirinya dengan agensi hartanah di Kuala Lumpur, beliau bertekad ini adalah bidang terakhir untuk diceburi kerana bidang ini sahaja kelihatan boleh membayar hutang insolvensi dirinya.

Dengan tiada pengalaman, beliau pun mencuba mencari rumah untuk dijual di sekitar perumahan tetapi masih gagal selepas dua bulan.

Sehingga pada bulan ke-3, satu hari itu dapat panggilan yang mana seorang klien berminat untuk membeli rumah yang diiklankan. Dipendekkan cerita, selepas selesa proses claim, beliau amat terkejut melihat komisien yang diterima setinggi RM7,800 dari jualan rumah biasa.

Bermula daripada situ, beliau tidak toleh belakang lagi dan buat bersungguh-sungguh hingga ke hari ini iatu tahun ke-6 di dalam bidang ini. Hidup beliau perlahan-lahan kembali stabil di samping ekonomi diri dan keluarga bertambah kukuh.

Fasa terakhir keluar bangkrap

Sumber Gambar: Azhar Mafof

Pada ketika ini, beliau masih lagi bankrap namun dengan bantuan konsultan swasta yang menguruskan fail insolvensinya, encik Hafiz menyasarkan untuk keluar dari bangkrapsi pada tahun ini (2024).

Nasihat beliau adalah untuk tidak berputus asa dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian kerana tiada yang mustahil di dalam hidup ini. Dalam pada itu, selalu berdoa kepada Allah S.W.T dan meminta pertolongan untuk keluar daripada masalah tersebut.