Tidak dinafikan terdapat banyak syarikat serta individu yang mewujudkan kilang kecil dalam usaha untuk menjadi jutawan Bitcoin sejak akhir-akhir ini. Malah, nilai Bitcoin yang merupakan kriptowang dengan nilai tertinggi antara yang membuatkan orang ramai berlumba-lumba untuk mendapatkannya.
Nampaknya kejatuhan nilai Bitcoin yang sangat teruk baru-baru ini telah membawa khabar kurang baik buat pemain kriptowang. Ini kerana beberapa kilang melombong Bitcoin terpaksa ditutup kerana nilai Bitcoin tidak dalam prestasi yang memberangsangkan.
Menurut laporan Independent, Giga Watt dari Amerika Syarikat merupakan mangsa kejatuhan harga Bitcoin, dimana terpaksa mengistiharkan muflis berikutan gagal membayar hutang sebanyak $7.0 juta (RM29.35 juta).
Laporan tersebut dibuat ketika Nilai Bitcoin jatuh menjunam kepada $4,030 (RM16,899.81). Kejatuhan nilai Bitcoin menyebabkan syarikat-syarikat melombong tidak berkemampuan membayar sewa dan bil kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kesemua pelombong-pelombong kriptowang.
Kebanyakkan syarikat-syarikat yang terjejas berasal dari China dimana kos penggunaan tenaga elektrik walaupun antara paling rendah di dunia tetap terkesan dengan kejatuhan nilai Bitcoin ini. Jika anda masih mempunyai niat untuk melabur dalam Bitcoin, sekarang mungkin bukan masa yang terbaik untuk berbuat demikian.