Jabatan Insolvensi (MDI) mendedahkan kira-kira 50 selebriti masih kekal berstatus muflis. Ini termasuklah penyanyi terkenal berpangkat ‘Datuk’, lapor Berita Harian.
Ketua Pengarah MDI, Datuk M Bakri Abd Majid, berkata MDI sukar membantu melepaskan mereka terbabit daripada status muflis mengikut peruntukan udang-undang.

Baca Juga:
- Lebih 15,000 Rakyat Malaysia Muflis Kerana Pinjaman Peribadi
- Guru Muda Rela ‘Mufliskan’ Diri Gara-Gara Tak Mampu Bayar Komitmen Bulanan Tinggi
- ‘Tak Tahan Tanggung Hutang, Ada Penjawat Awam Minta Diisytihar Muflis’ – Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi
Ini kerana sikap artis yang enggan menemui pegawai MDI bagi membincangkan kes kebankrapan walaupun notis bankrap sudah lama dikeluarkan kepada mereka atau gagal membuat sumbangan bulanan ditetapkan pihaknya.
Difahamkan ada di antara artis berkenaan memaparkan kehidupan mewah mereka di media sosial, tetapi gagal melakukan pembayaran bulanan yang ditetapkan berdasarkan kemampuannya walaupun jumlah dikenakan adalah kecil.
Ada yang boleh bebas, tapi selebriti enggan beri kerjasama

“Ada di antara artis berkenaan sepatutnya boleh dibebaskan daripada status bankrap, contohnya kes sudah melebihi lima tahun, tetapi disebabkan tidak memberi kerjasama baik atau langsung tidak bertemu pegawai MDI untuk membincangkan kes itu, jadi mereka kekal bankrap hingga kini.
“Memang jumlah selebriti yang muflis di negara ini tidak ramai, tetapi mereka yang mempunyai ramai peminat ini sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.
Difahamkan, antara artis yang berstatus bankrap itu ialah dua penyanyi rock terkenal negara yang masih aktif dalam bidang seni dan beberapa pelakon popular.

Selain selebriti artis terbabit, ahli perniagaan, tokoh korporat dan beberapa ahli politik juga turut tersenarai sebagai individu bankrap yang masih belum dilepaskan sehingga kini. Kebankrapan mereka atas pelbagai faktor termasuk gagal memberi kerjasama sepatutnya kepada MDI bagi pengurusan kes mereka.
Tambahnya lagi, status bankrap itu boleh dibebaskan sekiranya jika mematuhi arahan diberikan MDI. Pengurusan kes kebankrapan menjadi mudah mereka boleh dibebaskan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun jika mematuhi kriteria ditetapkan.

“Antara kriteria yang dilihat jika orang bankrap mahu dilepaskan daripada muflis ialah menjadi ‘individu bankrap yang baik’ iaitu membayar sumbangan bulanan ditetapkan tanpa culas dan menghantar laporan pendapatan serta perbelanjaan setiap enam bulan kepada MDI.
“Jika mereka masih dalam tempoh bankrap dan mahu keluar negara atas urusan rasmi atau mahu melakukan ibadah, MDI sedia menimbang permohonan itu mengikut syarat ditetapkan, tetapi malangnya ada artis menyalahgunakan kemudahan diberikan itu,” katanya.