Sebuah fosil dinosaur Tyrannosaurus rex (T. rex) berusia 67 juta tahun telah mencatatkan sejarah baharu selepas dijual pada harga $50.1 juta atau sekitar RM220 juta dalam satu acara lelongan anjuran Sotheby’s di New York.
Nilai tersebut menjadikannya fosil dinosaur termahal yang pernah dijual dalam sejarah lelongan dunia.

Spesimen pemangsa terkenal yang diberi nama gelaran ‘Gus’ ini mempunyai ketinggian melebihi 12 kaki (4 meter).
Menurut pihak Sotheby’s, Gus merupakan antara spesimen T. rex ‘paling lengkap’ pernah ditemui dengan lebih 60 peratus struktur tulangnya berjaya dipulihkan.
Persaingan Sengit Tujuh Pembida
Sesi lelongan tersebut menyaksikan suasana bilik pameran di Sotheby’s New York riuh dengan tepukan gemuruh selepas tujuh pembida — melalui dalam talian, telefon, dan kehadiran fizikal —bersaing sengit selama 10 minit.
Harga ketukan tukul terakhir itu sekaligus menggandakan anggaran awal nilai fosil berkenaan yang diletakkan pada kadar $20 hingga $30 juta.
Walau bagaimanapun, identiti pemenang bidaan bertuah itu masih belum didedahkan kepada umum.
Fosil Gus mula ditemui pada tahun 2021 di sebuah ladang terpencil di Daerah Harding, South Dakota, Amerika Syarikat.
Proses ekskavasi dan pembinaannya semula mengambil masa keseluruhan selama lima tahun.
Tulang-tulangnya digali sepanjang tiga musim panas dari tahun 2021 hingga 2023 apabila tanah mula mencair, sebelum makmal mengambil masa tiga tahun lagi untuk mencantumkan semula struktur T. rex tersebut.
“Keputusan ini adalah hasil usaha bertahun-tahun,” kata Cassandra Hatton, Ketua Global Sains dan Sejarah Semulajadi Sotheby’s. “Gus bukan sahaja satu penemuan yang luar biasa, malah ia adalah spesimen yang telah diekskavasi, didokumentasikan, disedia, dan dijaga dengan kecemerlangan yang nyata.”
Bukti Pertempuran Zaman Purba
Hasil kerja pemulihan di makmal mendedahkan butiran menarik tentang sejarah hidup Gus.
Terdapat kesan gigitan pada bahagian tengkorak serta kesan patah pada tulang rusuk yang telah sembuh ketika dinosaur itu masih hidup.
Kecederaan tersebut dipercayai berpunca daripada aktiviti mencari bangkai atau akibat pertempuran dengan dinosaur lain.

Jualan mega ini telah memecahkan rekod terdahulu yang dipegang oleh fosil Stegosaurus bernama ‘Apex’ pada tahun 2024, sekali gus menjadi fosil pertama yang melepasi penanda aras $50 juta.
Meskipun beberapa saintis menyatakan kebimbangan kepada BBC bahawa trend ini mungkin menandakan era baharu di mana golongan jutawan mengumpul fosil sebagai koleksi peribadi, terdapat kemungkinan besar Gus masih boleh dilihat oleh orang awam.
Sebelum ini, pemilik Apex, jutawan Kenneth Griffin, telah meminjamkan fosil berkenaan kepada Muzium Sejarah Semulajadi Amerika selama empat tahun untuk tujuan pameran dan kajian.