Sarawak beraksi cemerlang dihadapan penyokong sendiri untuk menundukkan Johor 4-1 pada aksi ketiga saingan kumpulan B acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Kemenangan yang sekali gus menghantar Johor pulang awal tanpa sebarang mata dapat dikutip pada edisi kali ini.
Mendapat sokongan padu para peminat di Stadium Tertutup Samarahan, Sarawak beraksi dengan penuh bertenaga sejak awal permainan.
Kelebihan itu digunakan sepenuhnya Sarawak untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi ketua pasukan, Mohamad Azrin Shahmin Jefery.
Kem Sarawak terus melonjak kegembiraan berselang tiga minit kemudian dan kali ini giliran Mohammad Aedel Izzwan Iswandi meletakkan nama selaku penjaring gol kedua.
Johor mengurangkan defisit jaringan ketika aksi memasuki minit ke-10 selepas percubaan Muhammad Dodie Al Fareq Mohd Zailani melepasi celah kaki penjaga gol Sarawak, Mohammad Syukimi Farizan.
Jaringan itu tidak langsung merentap semangat juang anak buah Faizal Zamri yang menambah dua lagi jaringan hasil sumbangan Asyraff Zakaris pada minit ke-19 dan Radziman Radzuan (minit ke-37).
Kemenangan itu meletakkan Sarawak di kedudukan kedua dengan tujuh mata, ketinggalan dua mata dibelakang pendahulu kumpulan, Selangor.
Lebih menarik, Sarawak dan Selangor akan bertemu sesama sendiri pada jam 4.30 petang esok untuk menentukan pasukan mana bakal bergelar juara kumpulan.