Selangor meneruskan rentak cemerlang dalam acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menundukkan Pahang 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan, sebentar tadi.

Kemenangan ketiga berturut-turut yang dilakarkan itu menyaksikan skuad kendalian Qusmaini Noor Rusli bagi memimpin kumpulan B dengan sembilan mata.

Baca Juga:

Selangor hanya memerlukan lima minit untuk berada dihadapan menerusi tolakan mudah Zulkifli Abu Hassan Zali selepas menerima lorongan kemas Ahmed Haziq Haikal Rashidi.

Aksi selepas itu memperlihatkan Selangor lebih mendominasi permainan serta menjelmakan gerakan-gerakan menarik tetapi penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka untuk menambah jaringan.

Memasuki minit ke-32, Pahang menyamakan kedudukan selepas cubaan Danial Awang untuk melakukan hantaran jauh gagal dibaca dengan baik penjaga gol Selangor, Addin Naufal lalu bola terus masuk ke gawangnya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-37 menerusi Ahmed Haziq untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat pasukannya.

Sementara itu dalam aksi kumpulan A, Pulau Pinang melonjak ke tangga kedua selepas berjaya menundukkan Sabah 4-2.

Aksi yang berlangsung sebelah pagi itu cukup menghiburkan dengan tiga gol pada dua minit awal permainan dimana gol Pulau Pinang dihasilkan oleh Faris Humaidi Hussaini dan Uraj Naidu manakala gol Sabah dihasilkan Adzman Jiril.

Faris menjadikan kedudukan 3-1 pada minit keenam dan Mohammad Shamil Sulaiman menambah jaringan keempat ketika aksi memasuki minit ke-13.

Gol Mohammad Taufiq Ahmad buat Sabah pada minit ke-20 masih belum cukup untuk menghalang kemenangan Pulau Pinang dimana baki 20 minit aksi babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan buntu bagi menambah jaringan.

Dalam satu lagi aksi, Wilayah Persekutuan bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meraih kemenangan kedua setelah menundukkan Melaka 2-1.

Jaringan Wilayah Persekutuan dihasilkan oleh gol sendiriĀ  Muhammad Nazim Haiqal Hapizi pada minit keenam, namun kelebihan itu dipadamkan berselang dua minit kemudian menerusi Muhammad Aqil Hazwan Nor.

Muhamad Imran Khairi Abdullah muncul wira buat Wilayah Persekutuan apabila ledakannya daripada jarak jauh tidak mampu diselamatkan penjaga gol Melaka, Muhammad Ikmal Ahmad Auzar.

Acara futsal SUKMA 2024 yang berlangsung di Kota Samarahan berjaya menarik minat kehadiran penduduk tempatan yang memenuhi segenap ruang stadium terutamanya ketika Sarawak beraksi.