Malaysia membuka kempen Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 dengan keputusan seri selepas terikat 4-4 ketika bertemu Indonesia dalam aksi kumpulan A yang berlangsung di Terminal 21, Korat sebentar tadi.

Satu mata diraih itu cukup penting buat skuad kendalian Jamhuri Zainuddin kerana lawan memegang status selaku pemenang pingat perak Sukan SEA 2025.

Ia seharusnya menjadi pemangkin semangat buat skuad negara menjelang pertemuan kedua bertemu tuan rumah, Thailand malam esok.

Futsal Wanita ASEAN 2026: Malaysia Ikat Indonesia 4-4
Kredit Foto: FAM

Malaysia Beri Saingan Sengit

Skuad negara bagaimanapun tersentak pada awal permainan apabila Indonesia berjaya mendapatkan jaringan pada minit ketiga dan keenam menerusi tonggak utama, Nisma Francida Rusdiana.

Kedua-dua gol tersebut terhasil menerusi situasi sepakan ke dalam yang gagal diselamatkan penjaga gol negara, Asma Junaidi.

Tidak tertekan dengan kedudukan tersebut, Malaysia bangkit dengan jaringan pertama pada minit kelapan menerusi Syafiqah Zainal.

Bermula daripada percubaan awal Siti Asnidah Zamri yang diselamatkan Riska Aprilia, Syafiqah pantas melakukan percubaan ketika dirinya tidak dikawal pemain Indonesia untuk merapatkan defisit jaringan.

Dua minit kemudian dengan situasi hampir sama, Ayuna Lamsin pula hadir tepat pada masanya untuk menyamakan kedudukan.

Nur Lyana Soberi cemerlang meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-14 hasil serangan balas pantas.

Memasuki babak kedua, Indonesia memperkemaskan aksi dan berjaya mendapatkan dua jaringan untuk kembali mendahului.

Gol ketiga skuad kendalian Luis Estrela itu hadir pada minit ke-25 selepas sepakan jarak jauh penjaga gol gantian, Fitry Amelya membuatkan Asma terpedaya lalu bola melepasi celah kakinya.

Memasuki minit ke-33, Syafiqah pula tertampan bola ke gawangnya sendiri ketika cuba menghalang sepakan ke dalam kawasan D oleh Novita Murni Piranti.

Enggan melangkah keluar dengan berputih mata, Malaysia menggadakan asakan pada lewat permainan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-38.

Berpunca daripada sepakan Ikeu Rosita yang mahu mengeluarkan bola dri kawasan bahaya, bola terkena Syafiqah dan hanya mampu dipandang oleh Fitry untuk Malaysia menyamakan kedudukan.

Kedudukan 4-4 itu kekal hingga hon penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Malaysia hanya perlu mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Thailand esok untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Sekiranya tewas, mereka masih mampu melangkah sekiranya dibolosi kurang daripada tiga gol.