Gabenor Jakarta, Pramono Anung Wibowo, baru-baru ini memuji sistem pengangkutan awam ibu negara Indonesia itu, yang disifatkannya sebagai antara yang terbaik di dunia.
Berdasarkan portal Indonesia, Detik, Pramono berkata bahawa secara global, Jakarta mempunyai pengangkutan awam ke-17 terbaik di dunia. Manakala di peringkat serantau Asia Tenggara pula, bandar itu berada di kedudukan kedua, hanya di belakang Singapura.

Beliau juga menegaskan bahawa pengangkutan awam di Jakarta telah mengatasi bandar-bandar besar lain seperti Kuala Lumpur, Manila dan Bangkok.
Kenyataan ini dibuat berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh firma media dan perniagaan yang berpangkalan di London, Time Out, pada Mac 2025. Tinjauan tersebut mengumpulkan maklum balas daripada 18,500 pengguna pengangkutan awam di lebih 50 bandar raya di seluruh dunia.
“Daripada 50 bandar yang ditinjau, dengan lebih 18,000 responden, Jakarta kini berada di tempat ke-17. Di Asia Tenggara, kami hanya tewas kepada Singapura. Kami lebih baik daripada Kuala Lumpur, Manila, malah Bangkok,” kata Pramono.
Beliau menambah, pencapaian itu menunjukkan bahawa ibu negara Indonesia itu semakin diiktiraf di peringkat global atas penyediaan kemudahan awamnya.
Gabenor Jakarta itu turut berharap agar bandar tersebut dapat meningkatkan kedudukannya dalam ranking dan tidak hanya berpuas hati dengan pencapaian di tempat ke-17 terbaik.
Berdasarkan tinjauan Time Out yang dirujuk oleh Pramono, berikut adalah senarai 19 bandar di dunia yang mempunyai pengangkutan awam terbaik:
1. Hong Kong, SAR
2. Shanghai, China
3. Beijing, China
4. Abu Dhabi, UAE
5. Taipei, Taiwan
6. London, UK
7. Vienna, Austria
8. Seoul, Korea Selatan
9. Mumbai, India
10. Doha, Qatar
11. Delhi, India
12. Singapura, Singapura
13. Zurich, Switzerland
14. Brighton, UK
15. Edinburgh, UK
16. Oslo, Norway
17. Jakarta, Indonesia
18. Warsaw, Poland
19. Tallinn, Estonia
Berdasarkan majalah global itu, lebih 18,500 penduduk bandar di lebih 50 negara mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut untuk menilai pengangkutan awam di bandar mereka.
Kedudukan ini mewakili bandar-bandar dengan peratusan tertinggi penduduk tempatan yang menggambarkan rangkaian pengangkutan awam termasuk bas, kereta api, trem dan lain-lain sebagai ‘baik’ atau ‘menakjubkan’.