Seorang gadis berusia 11 tahun yang tidak terlalu mengikut peribadi kanak-kanak di usia muda yang fokus bermain telah berjaya menjadi usahawan melalui perniagaannya sendiri. Dia melakukan ini bukan kerana dia miskin atau kerana keluarganya mempunyai masalah, tetapi semata-mata kerana dia ingin berniaga.

Pixie Curtis, seorang kanak-kanak dari Australia memulakan perniagaanya pada 2021 ketika wabak COVID-19 melanda dunia, lapor Nationwide News. Dia difahamkan memulakan perniagaan Pixie’s Fidget yang menawarkan aksesori dan permainan kanak-kanak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Dia diberi modal oleh ibu bapanya yang turut membantunya mempelajari selok belok perniagaan. Mujur Curtis jenis budak yang bijak dan cepat belajar, hasilnya kini dia telah berjaya menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

Operasi perniagaannya bermula di Instagram peribadi yang mempunyai ratusan ribu pengikut. Item pertama yang dijual olehnya adalah mainan gelembung berwarna-warni yang habis dijual dalam tempoh 48 jam dengan jumlah keuntungan mencecah US$ 200,000 atau RM930,000. Difahamkan bahawa keuntungan yang dia peroleh setiap bulan sehingga hari ini adalah di atas RM900,000.

Perniagaannya ini terus berkembang. Dari kedai dalam talian, kini dia mempunyai gudang sendiri. Bukan itu sahaja, dia juga kini memulakan perniagaan baharu dalam sektor aksesori rambut iaitu Pixie’s Bows.

Bagaimanapun, kejayaan yang diperoleh oleh kanak-kanak berusia 11 tahun ini dipersoal oleh orang ramai kerana tiada siapa yang tahu berapakah nilai kekayaannya. Ada yang menganggarkan kekayaan Curtis berjumlah AS$ 21 juta atau sekitar RM97 juta.

Walaupun tiada data yang sahih, namun melihat daripada gaya hidupnya, dia memang sedang menikmati kekayaan di usia yang muda. Dalam laporan First Post, Curtis dilaporkan telah membeli sebuah Mercedes Benz dengan harga US$ 270,000 atau RM1.2 juta.

Terbaharu, melalui laporan NY Post, Curtis difahamkan mahu bersara dari dunia perniagaan dan mahu fokus sekolah. Bagi ibunya pula, wang yang anaknya peroleh daripada perniagaan itu lebih mencukupi dan tidak mahu anaknya terlalu bekerja sehingga melupakan persekolahan.