Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon maaf selepas kontinjen Malaysia gagal membawa pulang pingat emas dari temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris yang tamat baru-baru ini.
Malaysia hanya mampu membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara badminton yang dimenangi oleh pasangan beregu, Aaron Chia/Soh Woo Yik dan perseorangan negara, Lee Zii Jia.
Baca Juga:
- Wang Tunai, Seekor Kerbau Habuan Untuk Arshad Nadeem
- Olimpik 2024: Senarai Pemenang Pingat Oleh Atlet Asia Tenggara
- Azizulhasni Beri ‘Baton’ Kepada Shah Firdaus Untuk Olimpik LA 2028
Menurut Hannah, meskipun gagal membawa pulang pingat emas, namun program Road To Gold (RTG) tidak dianggap gagal dan akan meneruskan misi untuk memburu pingat emas di temasya Los Angeles pada 2028 nanti.
“Saya mewakili pihak kontinjen negara memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami masih belum membawa pulang pingat emas Olimpik untuk negara.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik meliputi 2024 Paris dan 2028 Los Angeles. Apa yang kita lihat, terdapat peningkatan daripada atlet RTG,” kata Hannah Yeoh dipetik dari laporan NST.
Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta semua pihak agar berpijak di bumi yang nyata selepas dilabel gagal dalam temasya itu.
Menurutnya, meskipun gagal membawa sebarang pingat emas, atlet negara telah menampilkan prestasi yang baik dimana ada yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
“Kita perlu berpijak di bumi nyata. Contohnya badminton, tak ada pun dalam senarai ranking pemain kita berada di kedudukan pertama atau kedua dunia. Tetapi, mereka telah melepasi lebih daripada prestasi ketika beraksi di Olimpik. Kita kena lihat perkara itu,” katanya.
Tambah Datuk Hamidin, semua persatuan sukan perlu memainkan peranan dalam usaha untuk memenangi pingat emas pertama negara selain perlu membuat persediaan rapi.
“Kalau tanya saya secara peribadi selaku CDM, semua pihak termasuk menteri mahukan pingat emas. Jadi kalau tanya saya, dendam itu membara dekat LA (Los Angeles). Kita kena berusaha dari sekarang kerana Olimpik ini tempat dunia atau ranking (pemain) nombor satu dunia dan pertandingan elit.
“Ia memerlukan pengorbanan, bukan hanya kerajaan atau persatuan tetapi juga atlet,” tambahnya.