Penerimaan luar biasa terhadap Proton Saga, khususnya bagi varian Premium, wajar diberikan pengiktirafan. Selain dikuasakan oleh prestasi enjin yang mantap serta penawaran spesifikasi yang komprehensif, estetika luaran model ini turut memainkan peranan utama.

Kombinasi rekaan lampu belakang yang lebih agresif dan dinamik, disempurnakan lagi dengan profil lampu hadapan yang tirus (sleek) berserta Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED pada bampar bawah, menjadikan penampilan keseluruhan Proton Saga Premium sentiasa menonjol dan mencuri tumpuan di jalan raya.

Gaji Baru RM1,500 Berkeras Nak Saga Premium, Ejen Luluh Hati Lihat Kakak Terpaksa Jadi Penjamin
Sumber Gambar: Paultan.org

Namun, harga jualan yang mahal pula menjadikan ia sebagai sesuatu yang mewah bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Seorang wakil jualan menerus Threads berkongsi satu kisah yang membuatkan dirinya berbelah bahagi sama ada mahu membantu pelanggan mendapatkan kereta idaman atau berpihak kepada kakak yang terpaksa berkorban namanya sebagai penjamin.

Difahamkan dia telah menyantuni kehadiran sebuah keluarga (ibu, kakak, dan adik) di bilik pamerannya.

Memandangkan si adik yang berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan sangat berhasrat untuk memiliki kereta pertama, dia langsung mencadangkan Proton Saga varian Standard beserta bayaran pendahuluan (Deposit) sebanyak 10% sebagai langkah kewangan yang paling realistik dan selamat.

Walau bagaimanapun, si adik menolak cadangan tersebut dengan alasan rekaan varian Standard kurang menepati cita rasanya, dan berkeras untuk mendapatkan sekurang-kurangnya varian Premium.

Wakil jualan menjelaskan bahawa permohonan untuk varian tersebut boleh diuruskan, namun ia memerlukan penyokong atau penjamin (guarantor) berikutan komitmen bulanan yang lebih tinggi berbanding kelayakan gajinya.

Mendengar syarat tersebut, si ibu secara spontan mencadangkan agar si kakak bertindak sebagai penjamin. Saya memaklumkan bahawa prosedur tersebut dibenarkan oleh pihak bank, asalkan pendapatan si kakak lebih tinggi daripada si adik.

Namun begitu, wakil jualan berkenaan dapat melihat reaksi wajah si kakak yang tampak keberatan dan seolah-olah terpaksa memikul tanggungjawab kewangan tersebut demi kehendak adiknya.

“Waktu mak dia tanyas saya macam tu, saya nampak si kakak tu macam terkejut sambil pandang mak dia yg masih bercakap. Kemudian saya pun bagilah tahu dokumen apa yang diperlukan semua termasuk documents penjamin.

“Selepas itu, si kakak minta masa dgn saya utk bincang dengan keluarga dia dulu. So diorang duduk dekat suatu sudut and bincang.

“Dekat 30minit juga la saya tunggu, kemudian dorang datang balik dekat saya and cakap mahu teruskan untuk saga premium. Tapi,  saya nampak merah mata si kakak tu sambil beredar keluar,” kongsinya.

Susulan melihat reaksi si kakaknya itu, dia langsung timbul rasa simpati dan berbelah bahagi kerana percaya si kakak tidak rela namanya menjadi penjamin untuk pemilikan kereta saga terbabit.

Dia langsung menitip pesanan buat orang ramai agar tidak menormalisasikan ahli keluarga yang memaksa adik beradik untuk saling bantu dalam pembelian kereta kerana sudah banyak kisah realiti nama penjamin disenaraikan hitam dek kerana tunggakan bulanan yang tidak dibayar oleh pemilik sebenar.