Bekas pemain perancang Chelsea dan skuad kebangsaan Brazil, Oscar, mendedahkan pendekatan pengurusan kewangan yang sangat berdisiplin sepanjang pengelibatannya dalam kancah Liga Super China (CSL).

Walaupun memperoleh salah satu kontrak paling lumayan dalam sejarah bola sepak dunia, beliau mengakui tidak pernah menyentuh wang gajinya sepanjang lapan tahun beraksi di sana.

Sepanjang tempoh berkenaan, Oscar dilaporkan mengaut pendapatan keseluruhan antara £150 juta hingga £175 juta (kira-kira RM815 juta hingga RM951 juta).

Angka yang sangat luar biasa itu meletakkannya sebagai antara atlet terkaya, namun beliau memilih untuk mengasingkan kesemya sekali gus mengelakkan pembaziran.

Dalam satu kenyataan di dalam podcast bersama Obi Mikel, pemain berusia 34 tahun itu mendedahkan rahsia bagaimana beliau menyara kehidupannya tanpa menggunakan wang gaji asas tersebut.

“Saya memasukkan keseluruhan gaji saya ke dalam akaun berasingan dan tidak pernah menyentuhnya sekali pun. Saya dan keluarga hanya hidup dengan bergantung kepada bonus perlawanan kerana nilainya sendiri sudah pun sangat besar,” kata Oscar.

Oscar memberitahu bahawa dia seronok mengejar bonus kemenangan, pada masa yang sama ia menjadi motivasi untuk beraksi bersungguh sungguh.

“Apabila saya bermain menentang kamu, saya akan beri segalanya. Obi, saya perlu menang perlawanan ini!” – tambahnya lagi.

Langkah berani Oscar berpindah dari Eropah ke Shanghai Port pada tahun 2017 pada mulanya mengundang kritikan hebat daripada peminat bola sepak global yang melabelnya sebagai hanya mengejar wang.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan tersebut, beliau membuktikan komitmen tinggi di atas padang apabila berjaya menjaringkan 77 gol dan membantu pasukannya merangkul tiga kejuaraan liga domestik sebelum kembali ke Brazil baru-baru ini.

Strategi kewangan yang diambil oleh Oscar ini kini dipuji sebagai satu tindakan bijak demi menjamin kekayaan buat generasi keluarganya, berbanding segelintir pemain bintang lain yang sering terjebak dengan masalah muflis selepas bersara akibat gaya hidup mewah.