Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman menyatakan cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM3,100 sebulan bukan satu pelarasan kecil. Kenaikkan itu melibatkan perubahan struktur kos tenaga kerja yang sangat besar.
Menurut beliau, perlu ada penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi dan pasaran buruh semasa, sebelum kadar RM3,100 dijadikan angka mandatori, petik Utusan Malaysia.
“Gaji minimum ialah lantai gaji berkanun, manakala gaji kehidupan wajar merupakan konsep lebih luas yang mengambil kira keperluan kehidupan seseorang atau isi rumah. Kedua-duanya tidak semestinya boleh disamakan.
“Matlamat utama bukan sekadar menentukan satu angka gaji minimum yang lebih tinggi, tetapi memastikan kenaikan itu mampan dan tidak menjejaskan peluang pekerjaan serta daya saing perusahaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau lagi, sebarang cadangan kadar gaji minimum perlu diserahkan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) terlebih dahulu. Kemudian MPGN akan mengkajinya sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.
MPGN dianggotai pakar penyelidikan serta wakil kesatuan sekerja, majikan, industri dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Sebarang cadangan akan mengambil kira semua segmen pekerjaan. Kita tidak boleh menggunakan pendekatan satu kadar sesuai untuk semua,” katanya.
Syed Hussain berkata kenaikan gaji pokok sebanyak 82 peratus turut meningkatkan beberapa perkara lain seperti caruman berkanun, bayaran kerja lebih masa, faedah pekerjaan dan kos tenaga kerja lain.
Jelas beliau lagi, majikan dalam sektor bermargin kecil dijangka membuat beberapa tindakan drastik untuk kelangsungan perniagaan seperti terpaksa mengurangkan pengambilan pekerja, menaikkan harga, mempercepatkan automasi atau mengecilkan operasi.
Pada masa sama Syed Hussain menyatakan pekerja berpengalaman dan berkemahiran tinggi yang nilai serta produktiviti mereka meningkat untuk tidak seharusnya kekal menerima gaji minimum.
“Pendekatan yang lebih baik adalah memastikan pekerja mempunyai laluan kemajuan gaji yang jelas berdasarkan kemahiran, produktiviti dan tanggungjawab.
“Gaji lebih tinggi mesti datang bersama produktiviti lebih tinggi supaya kenaikan itu dapat dikekalkan oleh majikan dan dinikmati pekerja dalam jangka panjang,” katanya.