Malayan Banking Bhd (Maybank) memaklumkan bahawa semua pekerjanya di Malaysia menerima pendapatan melebihi paras Gaji Kehidupan Wajar (Living Wage) sebanyak RM3,100 sebulan, berdasarkan penanda aras Panduan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Memetik The Star, Maybank berkata dalam satu kenyataan di mana ia kekal sejajar sepenuhnya dengan kerangka Ekonomi Madani, khususnya di bawah teras “Raise the Floor”, dan akan terus bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta pihak berkepentingan lain di bawah program GEAR-uP untuk menjayakan agenda kemakmuran bersama serta membina tenaga kerja Malaysia yang bersedia menghadapi masa depan.
Baca Juga:
- Maybank Malaysia Disenarai Syarikat Paling Bernilai Di Asia Tenggara
- Bangunan Maybank Di Kota Kinabalu Ini Jadi Tumpuan Bergambar Pelancong China
- Pengguna Maybank Berpeluang Bayar Menggunakan QR Di Singapura, Thailand Dan Indonesia
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata komitmen ini selari dengan tujuan Maybank sebagai sebuah platform berteraskan nilai, dipacu oleh tenaga kerja bionik yang mengutamakan pendekatan manusiawi dalam perkhidmatan kewangan.
Sekali gus menegaskan komitmen jangka panjang bank itu terhadap amalan gaji yang adil, inklusif dan mampan.
“Di Maybank, kami percaya bahawa kebajikan dan kesejahteraan pekerja, termasuk gaji yang adil dan bermaruah, bukan sahaja satu keperluan moral tetapi juga pemangkin kepada kejayaan perniagaan.
“Memberikan semua pekerja gaji yang kompetitif dan mampan adalah asas kepada pembinaan tenaga kerja yang tahan lasak dan bersedia untuk masa depan. Ia mencerminkan komitmen mendalam kami terhadap kemakmuran bersama dan nilai-nilai dalam kerangka Ekonomi Madani,” tambah beliau.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Maybank kekal teguh dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, inklusif dan kondusif buat semua pekerja, sambil menyediakan pelbagai manfaat komprehensif dan kompetitif yang menyokong kesejahteraan holistik warga kerja mereka.
Bagi pembangunan kerjaya, Maybank telah melaksanakan program reskilling dan upskilling yang terancang untuk memperkasakan pekerja dengan keupayaan relevan — termasuk akses kepada platform pembelajaran digital tersusun, pensijilan yang diiktiraf industri serta laluan kemahiran yang sejajar dengan mobiliti dalaman dan kemajuan kerjaya.
“Inisiatif-inisiatif ini secara langsung menyumbang kepada matlamat negara dalam membentuk tenaga kerja yang berdaya tahan, meningkatkan mobiliti sosial, serta pembangunan pekerjaan berkualiti tinggi,” ujar Khairussaleh lagi.