Pekerja Indonesia kini kurang berminat untuk mencari rezeki di Malaysia. Mereka lebih memilih berhijrah ke negara lain kerana berpeluang memperoleh pendapatan yang jauh lebih tinggi.
Memetik dari Buletin TV3, perkembangan semasa ini dikongsikan sendiri oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono yang berkata trend penghijrahan pekerja Indonesia ke Malaysia semakin menurun.

Angka terkini menunjukkan 543,000 pekerja, berkurang berbanding 591,000 pada tahun sebelumnya.
Oleh itu, sektor pembinaan Malaysia dijangka terjejas kerana ramai pekerja Indonesia beralih ke negara lain seperti Jepun, Taiwan, Singapura, dan Hong Kong.
Trend ini bakal menyebabkan kekurangan tenaga kerja yang ketara di negara kita.
Walaupun permintaan untuk pembantu rumah dan pekerja sektor formal masih tinggi dari 1 Januari hingga 4 September tahun ini, jumlah perjanjian kerja yang ditandatangani didapati semakin berkurangan.
“Bagi sektor domestik, sebanyak 22,651 permintaan dalam tempoh sembilan bulan, namun perjanjian kerja yang dilaksanakan hanya 6,506. Bagi sektor rasmi pula termasuk perladangan, permintaan adalah 11,394 manakala perjanjian hanya membabitkan 9,106 sahaja.
“Jadi mengikut jangkaan saya, jumlah pekerja Indonesia di Malaysia tidak akan naik lagi, sebaliknya semakin menurun. Kalau kita lihat trend, dalam enam bulan terakhir ini, bilangan pekerja yang mempunyai dokumen menurun.
“Bukan itu sahaja, mereka yang bekerja di sini lepas cukup tempoh dua tahun tidak berminat meneruskan, sebaliknya pulang ke Indonesia atau berhijrah ke negara lain,” katanya dalam sesi temubual bersama BH, di sini.
Jumlah pekerja Indonesia di Malaysia, yang kini terdiri daripada 62,000 pekerja domestik, 177,000 pekerja ladang, dan 114,000 pekerja binaan, dijangka terus menurun.
Ramai pilih ke Arab Saudi
Hal ini berikutan tindakan Indonesia menamatkan larangan sementara penghantaran pekerja domestik, yang menyebabkan ramai pekerja memilih peluang di Arab Saudi.
“Kini kita sedang berunding dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi tujuan itu,” katanya.
Menurut Hermono lagi, penurunan ketara dalam jumlah pekerja tanpa izin diyakini berpunca daripada penguatkuasaan dan operasi serbuan yang lebih tegas oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Kalau kita lihat jika ada serbuan pihak imigresen, datanya pasti membabitkan pendatang Bangladesh atau Myanmar bukan lagi negara lain, ia menunjukkan orang Indonesia hanya sedikit di sini.
“Antara sebabnya pekerja Indonesia semakin berkurang, ia disumbangkan faktor gaji yang tidak kompetitif. Kalau 10 tahun lalu, majoriti pekerja di projek pembinaan adalah pekerja Indonesia.
“Namun cuba lihat sekarang, sangat berkurang…kalau adapun satu atau dua. Saya kira pekerja Bangladesh jauh lebih dominan,” katanya.
Idea bawa jururawat ke Malaysia berpotensi besar
Cadangan untuk membawa jururawat dari Indonesia ke Malaysia dilihat sebagai langkah yang berpotensi besar. Menurut Hermono, inisiatif ini akan memudahkan pesakit Indonesia yang mendapatkan rawatan di sini, selain membuka sektor baharu untuk pekerja dari negara tersebut.
“Masih dalam perbincangan kerana Malaysia juga belum putuskan. Kita berharap nanti ini juga menjadi sesuatu yang baharu. Saya kira penting juga sebab ramai orang Indonesia yang datang ke hospital di sini.
“Situasi itu jelas kalau kita lihat di Pulau Pinang dan Melaka. Jadi saya kira, itu pun ada keperluan. Kenapa Pulau Pinang jadi tumpuan? Antara sebabnya perkhidmatannya bagus dan kos tidak lebih mahal dari Indonesia.
“Selain ini pekerja Indonesia dalam sektor pembinaan, perladangan dan pekhidmat domestik. Saya kira Malaysia perlu (jururawat dari Indonesia) kerana sektor pelancongan kesihatan di sini cukup maju,” kongsinya.
Mengambil contoh Singapura di mana jururawat Indonesia sudah bertugas, Hermono percaya program yang sama di Malaysia akan membolehkan kemahiran mereka ditingkatkan setaraf standard penjagaan yang diperlukan.