Harga rumah yang terlalu tinggi menyukarkan individu, termasuk yang berkeluarga atau bujang, untuk memiliki rumah sendiri. Ini mendorong mereka untuk menyewa atau tinggal bersama keluarga sebagai jalan lain.

Perkara ini dikuatkan lagi apabila wujud sejumlah individu yang tampil berkongsi realiti sebenar mengapa masih menyewa sehingga ke hari ini meskipun masih tersimpan hasrat untuk memiliki kediaman sendiri.

Gaji RM1,500 Tak Cukup Miliki Rumah: Realiti Pahit Golongan Berpendapatan Rendah
Sumber Gambar: Hartanah Johor

Seorang pesara berusia 58 tahun, Azahar Wahid, terpaksa menyewa rumah di Petaling Jaya, Selangor pada kadar RM1,200 sebulan. Hal ini kerana harga hartanah di kawasan itu terlalu mahal untuk dimilikinya.

“Saya sudah menyewa rumah bersama empat anak sejak 12 tahun dulu kerana tidak mampu membeli rumah di kawasan ini (Petaling Jaya) kerana harga rumah terlalu mahal.

“Bagi individu berkeluarga seperti saya, pastinya kami mahukan rumah mampu milik yang selesa dengan memiliki tiga bilik untuk anak-anak dengan anggaran bayaran bulanan di bawah RM1,300,” katanya.

Oleh hal yang demikian, Azahar berpendapat, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentang pembinaan sejuta rumah mampu milik yang akan bermula tahun depan telah memberikan harapan kepada golongan yang tidak mampu membeli rumah.

Seorang wanita bernama Farah Datul Ikhma Hanafi, 32 tahun, berkongsi hasratnya untuk memiliki rumah sendiri, tetapi hasratnya itu terhalang akibat harga rumah yang terlalu mahal.

“Anggaran pendapatan RM1,500 sebulan dengan bekerja sendiri, pastinya tidak mencukupi untuk bayaran bulanan rumah melebihi RM1,000 sebulan,” katanya yang kini masih menetap bersama ibu bapanya di Jasin, Melaka.

Seoranf jurugambar V Moganraj, 34, pada tahun 2023 pernah memohon pinjaman bank untuk membeli rumah. Namun, beliau membatalkan hasrat itu kerana memikirkan komitmen bayaran bulanan yang tinggi.

“Ketika ini, saya masih menyewa di sebuah unit kondominium di Cheras dengan bayaran bulanan RM1,200. Meskipun masih menetap di rumah sewa, saya masih menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya harap dengan adanya inisiatif rumah mampu milik ini, ia akan memberi peluang kepada mereka yang tiada rumah termasuk individu bujang memiliki rumah meskipun memasuki usia 40-an,” katanya.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), bahawa Kerajaan Persekutuan akan membina sejuta unit rumah mampu milik dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.

Projek ini dijangka akan dilaksanakan dari tahun 2026 hingga 2035.