Industri game tanah air sekali lagi melakar sejarah yang cukup membanggakan apabila karya terbaharu buatan anak tempatan, Ondeh Ondeh Kaya’s Tasty Tale, secara rasminya ditayangkan dalam acara gergasi Nintendo Direct.

Kejutan ini bukan sahaja menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa, malah membuktikan bahawa kualiti penceritaan dan kreativiti tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi industri global.

Sentuhan Studio Tempatan Dan Penerbit Gergasi

Game yang dibangunkan oleh studio tempatan Metronomik ini diterbitkan dengan kerjasama penerbit tersohor, Bandai Namco Entertainment SEA. Bakal dilancarkan pada tahun 2027 di platform Nintendo Switch 2, game ini turut bakal menjengah pengguna PlayStation 5 dan PC menerusi Steam.

Pengasas bersama Metronomik, Wan Hazmer, menyuarakan rasa terharu dan bangganya atas pencapaian pasukan beliau selepas trailer rasmi game tersebut diperlihatkan kepada jutaan penonton dunia.

“Saya sangat bangga dengan pasukan dan rakan kerjasama kami. Dedikasi serta kehebatan kreativiti mereka dalam menghidupkan budaya kita benar-benar memberi inspirasi.

Melihat sokongan serta komen anda semua membawa makna yang sangat besar buat saya,” kata Wan Hazmer menerusi hantarannya di media sosial.

Disuntik Elemen Unik Dan Latar Suara Tempatan

Apa yang membuatkan game ini lebih istimewa adalah keberaniannya mengetengahkan identiti dan elemen budaya tempatan.

Malah, trailer rasmi yang dimuat naik turut menampilkan pilihan bahasa Melayu, sekali gus menarik perhatian peminat animasi dan permainan video tempatan serta serantau.

Pelakon suara tempatan, Megat Adli, yang turut meminjamkan suaranya untuk watak dalam game ini tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

Beliau meluahkan rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek berjiwa tempatan ini.

“Game ini dihasilkan dengan penuh rasa kasih sayang buat Malaysia. Kita dah melangkah jauh,” ujar Megat Adli ketika mengulas penglibatannya dalam pembikinan game tersebut.

Sorakan Bangga Daripada Komuniti

Rata-rata netizen dan komuniti peminat game tempatan membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah dan sokongan moral.

Ramai yang menyifatkan kejayaan menembusi siaran Nintendo Direct sebagai satu pencapaian luar biasa yang sangat sukar dicapai oleh studio indie.

Antara reaksi peminat yang mencuri tumpuan merangkumi rasa tidak percaya dan gembira melihat elemen Malaysia kini menjadi perhatian dunia.

Bagi komuniti kreatif tanah air, kejayaan Ondeh Ondeh ini bukan sekadar sebuah permainan video baharu, tetapi satu bukti kukuh bahawa bakat anak tempatan mampu melangkah ke persada antarabangsa.