Bila bab ‘marketing’, kedai Pak Mat Western sering menjadi tumpuan ramai kerana produksi yang luar biasa. Ini termasuklah pengambilan pelakon atau ikon terkemuka untuk membintangi iklan-iklan yang menarik untuk produknya.

Nampaknya, pelakon terkenal, Norman Hakim juga tidak turut ketinggalan diambil sebagai model untuk mempromosikan produk kambing perap oleh syarikat berkenaan.

Menerusi video dimuat naik di laman Instagram @pakmatwesterncafe, pelakon ini bersama anak perempuannya iaitu Marissa Dania dilihat berpelukan ketika saling menyapa di pintu masuk.

Namun babak itu mula mengundang kepada babak sebak selepas melihat tangisan Norman ketika memeluk Marissa di pintu rumah.

Sambil memanggil gelaran ‘Adik’ kepada puterinya, Norman dilihat menunjukkan video kompilasi gambar tulisan Marissa ketika kecil.

Antara coretan yang telah membuat ramai tersentuh apabila Marissa mendoakan agar dosa bapa diberikan kepadanya.

“Adik selalu doa, dosa papa bagi dekat adik, pahala adik bagi dekat papa sebab adik sayang papa,” tulisnya pada kertas.

Selepas menonton video yang ditunjukkan oleh bapanya, Marissa duduk bersalaman dan meminta maaf kepada Norman sambil pelakon lelaki itu kelihatan cuba menahan sebak.

“Papa tak ada apa yang nak dimaafkan. Semua papa dah maafkan,” katanya dengan nada sebak.

Menjengah ke ruangan komen video tersebut, pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen selepas menonton video iklan kambing perap itu. Namun begitu, majoritinya meluahkan rasa sebak selepas menonton gandingan ini di dalam iklan terbaharu Pak Mat Western.

“Ya Allah, Ya Allah. Banjir. Bab mak ayah ni memang tak boleh tahan,” luah seorang netizen.

“Tangisan norman tu boleh rasa sampai ke tulang.. tak kisah lah artis ke tak,” kongsi seorang netizen lain.

“Sedih tgk abg Norman. Terasa mcm dia belum puas lunaskan tanggungjawab pada anaknya Marissa. Skrg dh jd milik org. Redha dlm tangisan,” ujar seorang netizen lagi.

Pada masa sama, ada pula netizen yang tertanya-tanya sama ada tangisan itu memang ‘real’ atau hanya lakonan semata-mata. Apa-apa pun video Pak Mat Western kali ini berjaya membuatkan ramai menangis dan menyedari betapa besar nilai anak terhadap seorang ayah.