Survey berkaitan stres di tempat kerja adalah satu perkara biasa yang dilakukan oleh semua organisasi dalam mencari solusi untuk mendapatkan persekitaran yang kondusif buat para pekerja.
Malah, setiap pekerja diminta bersikap jujur dalam memberi maklum balas menerusi survey yang dikeluarkan.
Bagaimanapun, sebuah syarikat di India telah mencuri perhatian netizen apabila mengambil tindakan di luar pemikiran manusia normal apabila pihak HR memaklumkan mereka yang mengadu stres di tempat kerja dibuang serta-merta.
Alasan syarikat itu berbuat sedemikian adalah kerana mahu memastikan persekitaran di tempat kerja menjadi tenang, jadi timbul keperluan membuang individu yang mengadu stres dan logiknya bagi mereka isu terbabit sudah berjaya diatasi.
Di dalam emel yang dihantar kepada pasukan di dalam syarikat tersebut:-
“ Pasukan yang dihormati, Baru-baru ini, kami menjalankan tinjauan untuk memahami perasaan anda tentang tekanan di tempat kerja. Ramai daripada anda berkongsi kebimbangan anda, yang amat kami hargai dan hormati.
“ Sebagai sebuah syarikat yang komited untuk memupuk persekitaran kerja yang sihat dan saling muafakat, kami telah mempertimbangkan maklum balas dengan teliti. Untuk memastikan tiada sesiapa yang terus tertekan di tempat kerja, kami telah membuat keputusan yang sukar untuk memecat pekerja yang menunjukkan tekanan yang ketara.
“ Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta, dan pekerja yang terjejas akan menerima butiran lanjut secara berasingan”, perkongsian dari Ketua HR syarikat terbabit.
Tangkap layar kandungan emel itu langsung tular di pelbagai platform media sosial dan semuanya terkesima dengan tindakan HR terbabit yang pilih membuang pekerja berbanding cari solusi dalam menyediakan persekitaran yang kondusif.