Pernah tak anda rasa terlalu penat walaupun tidak melakukan kerja fizikal yang berat? Kepala mula serabut, emosi mudah terganggu dan perkara kecil pun boleh membuatkan anda rasa marah. Situasi seperti ini mungkin berlaku apabila anda berdepan tekanan atau stres.

Dalam kehidupan seharian, stres boleh datang daripada pelbagai perkara. Antaranya bebanan kerja, masalah kewangan, hubungan peribadi atau komitmen yang semakin bertambah.

Menurut sumber India Times, walaupun stres merupakan sebahagian daripada kehidupan, tekanan yang berpanjangan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada tubuh apabila kita mengalami stres dan bagaimana cara untuk mengurangkannya?

Kesan Stres Terhadap Kesihatan Fizikal

Apabila seseorang mengalami stres, tubuh akan mengeluarkan hormon seperti kortisol dan adrenalin sebagai sebahagian daripada tindak balas semula jadi untuk menghadapi tekanan.

Keadaan ini boleh menyebabkan jantung berdegup lebih cepat, tekanan darah meningkat dan pernafasan menjadi lebih pantas.

Tindak balas ini biasanya tidak mendatangkan masalah jika berlaku dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, stres yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada beberapa aspek kesihatan fizikal. Antaranya:

1. Meningkatkan Risiko Penyakit Jantung

Stres yang berpanjangan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat dan mencetuskan perubahan dalam tubuh yang berkaitan dengan keradangan.

Jika keadaan ini berlaku secara berterusan, ia boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.

2. Menyebabkan Masalah Penghadaman

Pernah tak perut terasa tidak selesa apabila terlalu risau atau berdepan situasi mencemaskan?

Ini kerana otak dan sistem penghadaman mempunyai hubungan yang rapat. Tekanan boleh mengganggu fungsi sistem penghadaman sehingga menyebabkan sakit perut, kembung, cirit-birit atau sembelit.

Bagi individu yang mempunyai masalah penghadaman seperti sindrom usus rengsa (IBS), stres juga boleh memburukkan gejala yang dialami.

3. Menjejaskan Sistem Imun

Stres yang berpanjangan boleh mengganggu fungsi sistem imun badan.

Akibatnya, tubuh mungkin tidak memberikan tindak balas pertahanan yang optimum terhadap jangkitan dan proses pemulihan daripada penyakit juga boleh terjejas.

4. Menyebabkan Ketegangan Otot

Apabila berada dalam keadaan tertekan, otot badan cenderung menjadi tegang sebagai sebahagian daripada tindak balas semula jadi tubuh.

Jika berlarutan, keadaan ini boleh menyebabkan sakit kepala, lenguh pada bahagian leher dan sakit belakang.

Kesan Stres Terhadap Kesihatan Mental

Selain memberi kesan kepada tubuh, stres juga boleh mempengaruhi emosi, pemikiran dan tingkah laku seseorang.

Tekanan yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental, termasuk keresahan dan kemurungan.

Antara kesan yang mungkin dialami ialah:

1. Mudah Berasa Cemas

Apabila terlalu banyak perkara bermain dalam fikiran, seseorang mungkin lebih mudah berasa bimbang, gelisah dan sukar untuk bertenang.

Kadangkala, perkara kecil pun boleh membuatkan seseorang berasa terlalu risau.

2. Perubahan Emosi

Stres juga boleh menyebabkan seseorang mudah marah, cepat tersinggung atau berasa sedih tanpa sebab yang jelas.

Keadaan ini boleh menjejaskan hubungan dengan keluarga, rakan dan rakan sekerja.

3. Mengganggu Kualiti Tidur

Pernah tak anda berbaring di atas katil tetapi mata masih belum mahu terlelap kerana terlalu banyak perkara difikirkan?

Stres boleh menyebabkan seseorang sukar tidur, kerap terjaga pada waktu malam atau bangun dalam keadaan masih letih.

Jika berterusan, kekurangan tidur pula boleh menyukarkan seseorang mengawal emosi dan menghadapi tekanan pada keesokan harinya.

4. Menjejaskan Ingatan Dan Tumpuan

Terlalu banyak perkara yang difikirkan boleh menyebabkan seseorang sukar memberikan perhatian terhadap sesuatu tugasan.

Stres juga boleh menjejaskan daya ingatan dan keupayaan membuat keputusan, sekali gus mengganggu urusan kerja serta kehidupan seharian.

5 Cara Mengatasi Dan Mengurangkan Stres

Walaupun kita tidak boleh mengelakkan semua perkara yang menyebabkan stres, terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan untuk menguruskan tekanan dengan lebih baik.

1. Luangkan Masa Untuk Bersenam

Aktiviti fizikal bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh, malah boleh membantu meningkatkan mood dan mengurangkan tekanan.

Anda tidak semestinya perlu melakukan senaman berat. Berjalan kaki, berbasikal, berenang atau berjoging selama 20 hingga 30 minit juga boleh menjadi permulaan yang baik.

Paling penting, pilih aktiviti yang anda gemari supaya lebih mudah menjadikannya sebagai rutin harian.

2. Cuba Teknik Pernafasan Dan Relaksasi

Apabila fikiran mula serabut, cuba berhenti seketika dan berikan ruang kepada diri sendiri untuk bertenang.

Tarik nafas secara perlahan, tahan seketika dan hembuskan dengan tenang. Ulang beberapa kali sehingga anda berasa lebih selesa.

Selain itu, meditasi dan yoga juga boleh membantu menenangkan fikiran serta mengurangkan ketegangan tubuh.

3. Jangan Pendam Masalah Seorang Diri

Kadangkala, kita hanya perlukan seseorang untuk mendengar apa yang sedang kita lalui.

Cuba berkongsi masalah dengan pasangan, ahli keluarga atau rakan yang dipercayai. Mendapatkan sokongan daripada orang sekeliling boleh membantu kita melihat sesuatu masalah daripada sudut pandang berbeza.

Jika tekanan semakin sukar dikawal, jangan teragak-agak mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau profesional kesihatan mental.

4. Belajar Menguruskan Masa

Beban kerja dan tugasan yang terlalu banyak boleh membuatkan seseorang berasa tertekan.

Untuk mengatasinya, cuba susun jadual harian dan senaraikan perkara yang perlu diselesaikan mengikut keutamaan.

Elakkan daripada melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa. Berikan ruang untuk berehat dan jangan terlalu memaksa diri sehingga mengabaikan kesihatan sendiri.

5. Dapatkan Bantuan Profesional

Jika stres mula mengganggu kehidupan seharian, mendapatkan bantuan profesional merupakan satu langkah yang wajar.

Antara pendekatan yang boleh membantu ialah terapi kognitif tingkah laku (CBT), iaitu kaedah terapi yang membantu seseorang mengenal pasti corak pemikiran negatif dan membina cara berfikir serta tindak balas yang lebih sihat.

Terapi ini juga boleh membantu individu mempelajari kemahiran untuk menghadapi situasi yang mencetuskan tekanan.

Teknik Relaksasi Yang Boleh Dicuba

Selain mengubah rutin harian, terdapat beberapa teknik relaksasi yang boleh membantu anda mengurangkan ketegangan dan menenangkan fikiran.

1. Meditasi Kesedaran (Mindfulness)

Teknik ini melibatkan tumpuan terhadap perkara yang sedang berlaku pada masa sekarang tanpa terlalu memikirkan perkara yang sudah berlalu atau belum berlaku.

Anda boleh mencubanya dengan duduk di tempat yang selesa, memberikan perhatian kepada pernafasan dan membiarkan fikiran kembali tenang.

2. Relaksasi Otot Progresif

Teknik ini dilakukan dengan menegangkan dan kemudian merehatkan kumpulan otot tertentu secara bergilir-gilir.

Sebagai contoh, anda boleh bermula dengan mengetatkan otot tangan selama beberapa saat sebelum melepaskannya secara perlahan.

Kaedah ini boleh membantu mengenal pasti ketegangan otot dan memberikan rasa lebih relaks.

3. Aromaterapi

Penggunaan minyak pati seperti lavender dan chamomile sering dikaitkan dengan aktiviti relaksasi.

Aromaterapi boleh membantu mewujudkan suasana yang lebih menenangkan, terutamanya ketika berehat atau sebelum tidur.

Bagaimanapun, kesannya terhadap pengurangan stres berbeza mengikut individu dan bukti keberkesanannya masih terhad.

4. Terapi Urutan

Urutan boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan memberikan keselesaan kepada tubuh.

Ia juga boleh menjadi salah satu cara untuk berehat selepas menjalani hari yang sibuk.

5. Akupunktur

Akupunktur merupakan kaedah rawatan tradisional yang menggunakan jarum halus pada titik tertentu di badan.

Sesetengah individu menggunakannya untuk membantu menguruskan kesakitan dan tekanan. Namun, keberkesanannya terhadap stres masih memerlukan lebih banyak kajian.

Sumber