Keadaan jerebu di Malaysia tampak tiada ‘sinar’ ia akan pulih dalam masa terdekat ini.
Fenomena jerebu ini memberi cabaran besar kepada masyarakat awam yang ingin menjalankan aktiviti riadah dan bersenam di luar rumah, terutamanya individu yang menghidap penyakit pernafasan seperti asma.
Menerusi panduan keselamatan yang pernah dikongsikan Institut Sukan Negara (ISN) dahulu, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa menyemak bacaan IPU semasa sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal di luar.
Berikut adalah panduan kategori IPU berpandukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar:
0 – 50: Baik
51 – 100: Sederhana
101 – 200: Tidak Sihat
201 – 300: Sangat Tidak Sihat / Berbahaya
Risiko Kesihatan Bersenam Semasa Jerebu
Orang ramai tidak digalakkan meneruskan senaman atau aktiviti fizikal di luar rumah sekiranya bacaan IPU melebihi paras sihat. Gabungan pencemaran udara dan senaman fizikal boleh menyebabkan masalah sistem pernafasan yang serius.
Dedahan kepada jerebu boleh mengakibatkan kerosakan saluran pernafasan, merangsang serangan asma, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok, serta boleh membawa maut dalam kes yang ekstrem.
Langkah Panduan Penjagaan Kesihatan untuk Orang Ramai
Bagi mengurangkan risiko kesan buruk pencemaran udara terhadap kesihatan, orang awam disyorkan mengamalkan langkah pencegahan berikut:
Elak Aktiviti Bersenam Intensiti Tinggi: Elakkan riadah atau senaman berat di luar apabila bacaan IPU berada pada tahap tertinggi. Sentiasa pantau status kualiti udara secara berkala menerusi radio, televisyen, atau media sosial.
Hadkan Aktiviti Luar: Hentikan sebarang senaman di kawasan terbuka sekiranya bacaan IPU melebihi 100, atau jika mula mengalami simptom seperti sesak nafas dan pening. Elakkan berada di luar pada waktu petang atau lewat petang kerana tahap pencemaran biasanya paling tinggi pada waktu tersebut.
Beralih ke Aktiviti Dalam Bangunan: Lakukan aktiviti fizikal di dalam rumah atau di dalam premis tertutup. Jika jerebu berlarutan, modifikasikan rutin senaman harian seperti melakukan senaman regangan, menggunakan treadmill, kayuhan basikal statik, atau senaman berimpak rendah di dalam rumah.
Tingkatkan Pengambilan Air Masak: Minum lebih banyak air untuk membantu mencegah jangkitan paru-paru serta mempermudah proses pembersihan zarah pencemaran dalam saluran pernafasan apabila terdedah kepada jerebu.
Tangguh Acara Sukan/Kemasyarakatan: Pihak penganjur acara riadah dan persatuan kemasyarakatan disaran menangguhkan sebarang aktiviti fizikal terbuka sekiranya bacaan IPU melebihi 100 bagi menjamin keselamatan dan kesihatan peserta serta penonton.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus peka dengan perkembangan situasi jerebu yang melanda negara dari semasa ke semasa serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
Mahu Ubah Persepsi Kesihatan, The Vocket Lancar Kempen ‘Sihat Itu Seksi’
The Vocket melancarkan kempen kesihatan dan kesejahteraan ‘Sihat Itu Seksi’, dengan matlamat untuk mengubah persepsi dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan kempen serta mendapatkan pelbagai perkongsian berkaitan gaya hidup sihat menerusi The Vocket dan tanda pagar #SihatItuSeksi di platform media sosial The Vocket.
TikTok: The Vocket di TikTok
Facebook: The Vocket di Facebook
YouTube: The Vocket di YouTube
Threads: The Vocket di Threads