Kesihatan tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya perlu diberi perhatian apabila seseorang jatuh sakit.

Atas kesedaran itu, portal gaya hidup digital The Vocket hari ini melancarkan kempen kesihatan dan kesejahteraan ‘Sihat Itu Seksi’, dengan matlamat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap gaya hidup sihat serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri.

Kempen ini dilancarkan bersempena sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik kepada usaha mengajak masyarakat untuk menjadi lebih cakna terhadap kesihatan dan pada masa sama berani melakukan perubahan untuk menjadi versi diri yang lebih baik.

Keperluan terhadap kesedaran ini semakin penting apabila data daripada Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2025 menunjukkan 254,000 daripada lebih 1.2 juta orang dewasa yang menjalani saringan dikesan mengalami masalah obesiti. Laporan RTM mengenai masalah obesiti dalam negara.

Menerusi kempen yang berlangsung dari September hingga Oktober 2026, The Vocket mahu mengetengahkan perspektif bahawa gaya hidup sihat tidak semestinya sinonim dengan diet ketat, rutin senaman melampau atau perubahan drastik.

Sebaliknya, perubahan boleh bermula dengan perkara yang lebih mudah dan realistik — daripada memperbaiki pemakanan, meningkatkan aktiviti fizikal hinggalah membina rutin harian yang lebih sihat.

30 Hari Untuk Jadi Lebih Sihat

Antara pengisian utama kempen ini ialah Cabaran Sihat Dalam 30 Hari, yang bakal menyaksikan lima ahli pasukan The Vocket sendiri mengambil bahagian dalam usaha memperbaiki tahap kesihatan dan kecergasan masing-masing.

Menariknya, setiap peserta akan menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut keadaan dan sasaran masing-masing, sekali gus menunjukkan bahawa perjalanan untuk menjadi lebih sihat tidak mempunyai satu formula yang sama untuk semua orang.

The Vocket turut membuka peluang kepada lima orang pembaca untuk menyertai cabaran yang sama.

Pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai RM500, selain hadiah daripada rakan usaha sama kempen.

Cabaran ini akan mendapat bimbingan seorang jurulatih peribadi yang berpengalaman membantu individu mencapai matlamat kecergasan dan pengurusan berat badan.

Bukan Sekadar Turun Berat

‘Sihat Itu Seksi’ juga akan mengetengahkan pelbagai kisah transformasi sebenar, tip kesihatan dan panduan gaya hidup sihat menerusi platform The Vocket sepanjang tempoh kempen.

Kisah-kisah ini akan melihat pelbagai cara individu melakukan perubahan terhadap diri masing-masing — termasuk mereka yang berjaya menurunkan berat badan melalui perubahan pemakanan, meningkatkan aktiviti harian seperti berjalan pantas atau sekadar membina rutin yang lebih konsisten.

Fokus kempen bukan semata-mata kepada angka di atas penimbang, tetapi kepada usaha membina hubungan yang lebih baik dengan kesihatan diri.

Ini termasuk aspek kecergasan, pemakanan, keyakinan diri dan kesejahteraan mental.

“Kalau Kami Boleh Buat, Anda Juga Boleh Buat”

Menurut Azam Anwar, Pengarah Kempen Sihat Itu Seksi, penglibatan pasukan The Vocket dalam cabaran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan kempen ini lebih dekat dengan masyarakat.

“Semoga dengan adanya kempen ini, literasi tentang kesihatan akan meningkat dalam masyarakat kita. Disebabkan itu, pasukan The Vocket sendiri turut serta dalam Cabaran Sihat Dalam 30 Hari ini kerana kami mahu tunjuk bahawa jika kami boleh buat, anda juga boleh buat.”

Beliau berkata, kempen itu diharapkan dapat menunjukkan bahawa perubahan gaya hidup tidak perlu bermula dengan sesuatu yang besar.

Sebaliknya, langkah kecil yang dilakukan secara konsisten boleh menjadi permulaan kepada perubahan fizikal dan mental yang lebih bermakna dalam jangka panjang.

Menerusi ‘Sihat Itu Seksi’, The Vocket berharap lebih ramai rakyat Malaysia melihat kesihatan sebagai satu bentuk pelaburan terhadap diri sendiri — bukan sekadar trend atau cabaran sementara.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan kempen serta mendapatkan pelbagai perkongsian berkaitan gaya hidup sihat menerusi The Vocket dan tanda pagar #SihatItuSeksi di platform media sosial The Vocket.

TikTok: The Vocket di TikTok
Facebook: The Vocket di Facebook
YouTube: The Vocket di YouTube
Threads: The Vocket di Threads