Sejak dunia pencipta kandungan menjadi popular, ramai individu mengambil inisiatif untuk mencari hidden gem lalu dipopularkan menerusi video mereka. Selalunya video sebegini mendapat jumlah tontonan yang tinggi dek kerana penonton mahu kelainan.

Walaupun mempunyai niat yang baik untuk mempromosi sesebuah bisnes dengan harapan ia akan bertambah jumlah pelanggan, rupanya lain pula reaksi bagi sesetengah pihak pemilik kedai makan.

Isu ini mula dibangkitkan oleh seorang pengguna Threads yang mana menasihati orang ramai untuk tidak menormalisasikan tindakan perkongsian atau ulasan di kedai-kedai kampung yang sudah lama bertapak.

Gara-Gara Ditularkan Oleh Pempengaruh Tanpa Izin, Banyak Kedai Makan 'Struggle' Nak Layan Pelanggan
Sumber Gambar: Mai Singgah

Baginya mereka tidak mengharapkan populariti pabila masing-masing sudah menjejak usia emas. Timbul rasa kesian melihat mereka perlu mengendalikan tempahan secara mendadak susulan ditularkan oleh pempengaruh dengan sewenang-wenangnya.

“Sian aku tngok pakcik sorang ni dok tebar roti canai tetibe orang ramai. Tak tentu arah dia,” luahnya.

Dalam pada itu, muncullah luahan daripada pihak peniaga sendiri yang berkongsi menimpa nasib yang sama di ruangan hantaran itu.

Bagi mereka, ketenangan menjaga pelanggan sedia ada jauh lebih bagus berbanding menerima sejumlah pelanggan dalam skala besar tetapi tidak dapat memberikan layanan yang bagus.

“Aku sebagai anak kepada mak ayah yg ada kedai makan nasik lauk pauk, terpaksa setuju dgn statement ni. Bukan nak tolak rezeki, tapi kami tenaga kerja pun tak ramai, tak boleh nak catch up kalau kedai tetiba viral tetiba ramai pelanggan.

Kami prefer suasana kedai yg tenang tenang yg dgn cust yg sedia ada. Bila membabitkan kuasa viral ni, kadang keadaan jadi tak terkawal,” kongsi seorang pengguna @hazilahhusaimi.

Betul. Kita sebagai peniaga,setuju. Yang tahu, hanya orang2 taman & yang berdekatan. Ada org tanya “kenapa tak viralkan masuk tt?”Jawapan kita, ‘takpe la cukup org sini2 je tau sbb we all tak capable untuk handle IN CASEEEEEE tiber beratur ke apa sbb gerai kita kecik je’

“So gerai kita, yg tau je tau. Heheheh alhamdulillah regular customer ada,customer baru pun ada,” tulisan dari pengguna @niesho.nieshy.

“Setuju, sebab ada kes kedai kampung kt area kg i di utara terus tutup lepas kena viral kt tiktok..sebab crowd ramai sgt, mak cik yg masak tu sorg je..sebab penat sgt anak dia suruh mak cik tu tutup je kedai and tak payah meniaga.

“Jadi sebaiknya yang influencer or yang selalu sangat post video kt tiktok tu sebelum nak post better tanya “boleh ke saya post kt tiktok kedai mak cik / pak cik ni?” Ada yg pak cik2 dan mak cik2 ni tak hadap pun nak viral..diorg nak meniaga tenang2 sebab dah biasa keje dari muda,” nasihat dari pengguna @syazwantahir.

Netizen percaya sebahagian individu mungkin berbisnes hanya untuk mengisi masa lapang dan mahu tenang melayan pelanggan yang sedia ada tanpa perlu promosi yang meluas.

Oleh itu, ada yang meminta influencer untuk lebih berhati-hati dan mencontohi teladan Khairul Aming yang mana hanya mempromosikan sesebuah bisnes atau kedai makan dengan meminta izin terlebih dahulu kerana tidak mahu berlaku perkara sebegini.