Bayangkan anda sedang fokus menghabiskan perlumbaan kecergasan yang memenatkan, tapi tiba-tiba terpaksa berdepan dengan ‘kejutan’ kurang menyenangkan di atas litar.
Itulah mimpi ngeri yang berlaku di acara perlumbaan kecergasan tertutup, Hyrox, di Beijing baru-baru ini.
Pihak penganjur terpaksa memulangkan semula yuran penyertaan kepada peserta selepas seorang atlet elit dari Australia, Joanna Wietrzyk, mengalami insiden ‘terbabas’ atau terbuang air besar ketika sedang berlumba.
Kontroversi Bermula Bila Atlet Dibenarkan Terus Berlumba

Walaupun sudah jelas berlaku pencemaran pada kaki dan kasutnya, Joanna yang juga pemegang rekod dunia wanita Hyrox, dibenarkan meneruskan perlumbaan dan menggunakan stesen senaman sehinggalah dia muncul juara. Video dan gambar insiden itu pantas tular di media sosial.
Memandangkan Hyrox ialah acara tertutup di mana peserta perlu berkongsi litar dan stesen senaman yang sama, isu kebersihan mula dipertikaikan. Ramai peserta lain terpaksa menggunakan tikar dan peralatan yang sama selepas Joanna berlalu pergi.
Respon Penganjur dan Luahan Kecewa Peserta
Pada awalnya, pihak Hyrox China sekadar mendakwa kawasan yang terjejas telah diasingkan dan disanitasi. Mereka juga mengatakan peralatan yang tercemar telah dialihkan dan karpet lantai akan ditukar.
Namun, respon yang dianggap agak perlahan itu membuatkan ramai peminat kecergasan di China kecewa sampaikan ada yang bertindak menarik diri daripada menyertai siri Hyrox seterusnya di Shanghai dan Sanya.
Menyedari kesilapan mereka, Hyrox China akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara rasmi.
“Disebabkan kelemahan operasi kami, anda semua tidak dapat merasai pengalaman acara yang baik seperti yang sepatutnya,” jelas pihak Hyrox China dalam satu notis kepada para peserta.

Sebagai tanda tanggungjawab, semua atlet yang masih berada di litar antara jam 2:40 petang hingga 8:40 malam pada hari kejadian layak mendapat pulangan wang penuh.
Pandangan Pakar dan Perubahan Undang-Undang Global
Isu ini bukan sekadar hal kesihatan individu, tetapi lebih kepada kecekapan pengurusan acara. Pengulas sukan dari Beijing, Zhang Bin, turut meluahkan pandangan beliau mengenai insiden ini.
“Dalam sukan ketahanan, masalah pencernaan perut memang biasa berlaku. Tetapi, sebaik sahaja cecair atau bahan kumuh badan mencemarkan peralatan yang dikongsi, ia terus berubah menjadi isu pengurusan acara, bukan lagi sekadar isu atlet semata-mata,” tegasnya.
Impak daripada insiden ini cukup besar sehinggakan Hyrox mengambil keputusan drastik mengubah undang-undang global mereka.
Pengasas bersama Hyrox, Moritz Fürste, turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
“Kami akui, kami telah buat kesilapan kerana tidak bertindak segera semasa perlumbaan sedang berlangsung,” luah Moritz dengan kesal.
Menerusi peraturan baharu yang dikemas kini, pengarah perlumbaan kini mempunyai kuasa penuh untuk menarik keluar mana-mana atlet atas alasan perubatan jika didapati darah, muntah, air kencing, atau najis mereka membawa risiko kesihatan dan pencemaran kepada atlet serta peserta lain. Tepat dan tegas, barulah semua orang boleh berlumba dengan tenang dan selamat!