Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menegaskan akan terus berdiri teguh bersama tiga pemain, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal sepanjang tempoh baki penggantungan yang sedang dijalani.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menekankan bahawa kelab tersebut akan terus memberikan sokongan penuh kepada ketiga-tiga pemain berkenaan walaupun berdepan situasi yang mencabar pada ketika ini.
JDT Nyatakan Pendirian Teguh
Menurut beliau, JDT memahami bahawa tempoh penggantungan tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi oleh mana-mana pemain.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berdiri teguh bersama tiga pemain kami — Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal — sepanjang tempoh baki penggantungan mereka.”
“Kami memahami bahawa situasi ini mencabar buat para pemain namun kami akan sentiasa menyokong mereka, sebagaimana yang sentiasa diterapkan oleh pemilik kelab kami, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor: “Never leave a soldier behind.”
“Ketiga-tiga pemain ini akan terus menjalani latihan bersama skuad utama dan kekal terlibat dalam aktiviti pasukan seperti yang dibenarkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” ujar Garcia menurut kenyataan dikeluarkan di JOHOR Southern Tigers.
Kenyataan ini sekali gus memberi gambaran jelas bahawa JDT tidak akan meninggalkan pemain mereka walaupun berdepan dengan situasi sukar, selari dengan prinsip yang sering ditekankan oleh kepimpinan kelab tersebut.
Larangan bermain bermula 5 Mac 2026, dengan pengiraan kredit tempoh penggantungan dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah dianggap telah dijalani.
Keadaan itu menyaksikan mereka hanya perlu menjalani hukuman tersebut kira-kira berbaki lapan bulan sahaja lagi.