Kemelut kewangan dan tunggakan gaji melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan dua pemain import iaitu Sukhrob Nurulloev dan Cleylton Santos memilih untuk meninggalkan pasukan.

Perkembangan terkini itu disahkan KDA FC menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman Facebook rasmi kelab tersebut, sebentar tadi.

Baca Juga:

Pemergian duo itu turut mengikuti jejak langkah Sony Norde, Habib Haroon, Fikri Che Soh dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang lebih awal mengangkat kaki pada Oktober dan November tahun lalu.

Malah, Nafuzi Zain juga meletakkan jawatan pada 24 Oktober lalu dan kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).

Selain Sukhrob dan Cleylton, Faiz Nasir juga meninggalkan pasukan kerana tempoh pinjaman beliau sudah berakhir.

“Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah, dan pengurusan Kedah Darul Aman FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang mereka bersama pasukan Sang Kenari.”

“Kehadiran mereka telah memberikan impak besar di atas padang dengan ketangkasan serta komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi.”

“Sukhrob dan Cleylton telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia. Semoga mereka terus maju dan kami mendoakan yang terbaik untuk mereka di pentas baharu.”

“Manakala untuk Faiz Nasir pula telah tamat tempoh pinjaman, akan tetapi beliau telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan.”

“Walaupun perjalanannya bersama Sang Kenari tamat di sini, kenangan yang ditinggalkan akan kekal dalam hati penyokong dan pasukan.”

“Setiap usaha dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah Kedah Darul Aman FC.”

“Selamat maju jaya kepada ketiga-tiga pemain ini dalam perjalanan,” tambah KDA FC dalam kenyataan tersebut.

Sumber