Angin semakin bertiup kencang mengatakan pembantu pengurus Liverpool, Giovanni van Bronckhorst merupakan antara calon yang sedang dipertimbangkan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia.
Perkembangan tersebut disahkan sumber Football Insider 247 dalam satu laporan eksklusif dikeluarkan.
Baca Juga:
- Instagram Justin Kluivert Diserang Warga Indonesia

- Erick Thohir Nafi Frank De Boer Bakal Ganti Patrick Kluivert

- Pembantu Kluivert Akui Tidak Terkejut Dengan Pemecatan Barisan Kejurulatihan Indonesia

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dikatakan sudah membincangkan mengenai pencarian pengganti kepada Patrick Kluivert, namun masih belum ada pengumuman rasmi dibuat badan induk tersebut.
Walaupun berjaya mara ke pusingan keempat kelayakan peringkat kumpulan AFC untuk Piala Dunia 2026, Indonesia mengalami dua kekalahan perit kepada Arab Saudi dan Iraq yang sekali gus memusnahkan harapan besar mereka.
Kegagalan Indonesia layak ke Piala Dunia 2026 itu menyaksikan Kluivert terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat skuad Garuda.
Giovanni van Bronckhorst Bukan Asing Buat Indonesia
Faktor Giovanni van Bronckhorst yang mempunyai pertalian darah Indonesia mungkin menjadi penilaian utama buat PSSI.
Bapa beliau, Victor van Bronckhorst adalah berdarah Indonesia-Belanda manakala ibunya, Fransien pula berasal dari Maluku meskipun lahir di Belanda.
Bekas pengendali Rangers dan Besiktas itu menyertai Liverpool pada musim panas lalu untuk bekerja dalam barisan kejurulatihan Arne Slot.
Beliau dibawa masuk sebagai pengganti kepada John Heitinga selepas Heitinga berpindah ke Ajax. Namun, Heitinga baru-baru ini telah dipecat oleh Ajax selepas permulaan musim yang buruk.
Selain Giovanni van Bronckhorst, nama jurulatih yang membawa Uzbekistan ke Piala Dunia 2026, Timur Kapadze juga disebut-sebut sebagai calon bagi mengisi kekosongan tersebut.