Penyerang veteran, Olivier Giroud berpendapat bahawa Amerika Syarikat ‘bukanlah negara bola sepak’ berdasarkan pengalamannya bersama Los Angeles FC (LAFC).
Pemain berusia 40 tahun itu membuat penampilan sulung bersama LAFC pada September 2024, namun meninggalkan kelab Major League Soccer (MLS) itu kurang daripada setahun kemudian, iaitu pada Jun 2025.
Sepanjang 38 penampilan dalam semua kejohanan bersama LAFC, Giroud menjaringkan lima gol dan menyumbang tiga bantuan jaringan.
Beliau turut membantu kelab itu menjuarai US Open Cup pada 2024, selain muncul naib juara Leagues Cup pada musim yang sama.
Kritikan Pedas Giroud Terhadap Bola Sepak Amerika Syarikat
Giroud kemudiannya pulang ke negara kelahirannya, Perancis untuk menyarung jersi kelab Ligue 1, Lille. Sehubungan dengan itu, Giroud mengimbas kembali keputusannya meninggalkan LAFC lebih awal daripada yang dijangkakan.
“Dari sudut bola sepak, ia bukanlah sesuatu yang benar-benar sesuai dengan saya,” ujar beliau menurut sumber laporan beIN Sports.
“Saya merindui semangat, keghairahan penyokong dan suasana stadium-stadium Eropah yang begitu membara, selain persaingan yang sengit.”
“Bagi saya, Amerika Syarikat bukan sebuah negara bola sepak.”
LAFC kini menduduki tangga keenam Western Conference musim ini, dengan Son Heung-min dan Denis Bouanga menjadi tonggak utama jentera serangan pasukan itu.
Manakala, Lille pula menghuni tangga kedua dengan 13 mata diraih hasil empat kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan. Mereka hanya ketinggalan satu mata dibelakang pendahulu, AS Monaco.