Pengurus Besar Los Angeles FC (LAFC), John Thorrington mendedahkan bahawa jualan jersi rekrut baharu kelab tersebut, Son Heung-min kini menjadi jersi paling laris di dunia.

Pendedahan menurut sumber laporan Goal itu menyatakan jualan jersi Son bukan sahaja mendominasi bola sepak, malah kini mengatasi jualan jersi bintang NBA seperti LeBron James dan Stephen Curry serta ikon MLS, Lionel Messi.

Baca Juga:

Thorrington juga menambah bahawa angka jualan itu adalah berdasarkan data masa nyata sejak pengumuman perpindahan Son ke LAFC.

Impak Pantas Kehadiran Son Heung-min ke LAFC

“Ini memasuki minggu kedua di mana kita bukan sahaja bercakap tentang jersi bola sepak paling laris dalam MLS,” ujar Thorrington.

“Ia adalah jersi paling laris bagi mana-mana sukan di dunia ketika ini. Saya bercakap tentang Son.”

“Jika diambil kira sejak beliau menandatangani kontrak bersama LAFC hingga sekarang, beliau telah menjual lebih banyak jersi berbanding mana-mana atlet di dunia.”

Oleh kerana LAFC dan Los Angeles Dodgers (pasukan bola lisut terkenal) berkongsi pemilikan, Son Heung-min bakal diperkenalkan dan turut akan melakukan balingan pembukaan simbolik di Stadium Dodger pada 27 Ogos ketika aksi menentang San Diego Padres.

Son melakukan debut dalam MLS pada 10 Ogos lalu ketika bertemu Chicago Fire apabila dimasukkan di minit ke-61 yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

LAFC akan bertemu New England Revolution pada Sabtu ini di gelanggang lawan.

Sumber