Bintang Korea Selatan, Son Heung-min kagum dengan semangat juang pasukan Malaysia yang tidak mudah mengalah sepanjang perlawanan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023.

Menurut Son, biarpun ia keputusan yang tidak baik untuk mereka namun beliau tetap memberi kredit kepada pasukan lawan.

Baca Juga:

“Pasukan Malaysia telah melakukan kerja yang bagus dan mereka betul-betul berjuang hingga wisel penamat.

“Ia adalah sesuatu yang sangat teruja untuk disaksikan sebagai peminat bola sepak dan mereka berjaya menjaringkan 3 gol serta berhak membawa pulang satu mata.

“Saya juga tumpang gembira untuk jurulatih (Kim Pan Gon) dan saya harap mereka dapat teruskan momentum selepas keputusan ini,” kata Son Heung Min ketika sidang media.

Korea Selatan bakal bertemu Arab Saudi di pusingan 16 namun Son masih tidak puas hati dengan prestasi pasukannya yang telah bolos sebanyak 6 gol setakat ini.

“Keputusan ini (3-3 menentang Malaysia) sukar untuk diterima. Ianya mengecewakan tetapi paling penting kami telah layak ke pusingan 16.

“Ianya tidak bagus untuk bolos dengan begitu banyak gol. Kalau anda mahu menjuarai kejohanan ini, anda kena lebih bersedia berdepan pasukan kuat.

“Tiada pasukan pilihan kerana semua pasukan sama kuat. Ini ‘wake-up call’ untuk kami supaya menjadi lebih bersedia di pusingan kalah mati nanti,” jelas Son.

Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-130 dunia turut memperbaiki pencapaian 2007 yang mana skuad negara gagal meraih sebarang mata pada ketika itu.