Bapa kepada ketua pasukan Korea Selatan, Son Heung-min iaitu Son Woong-jung tidak yakin pasukan itu mampu untuk muncul sebagai juara temasya Piala Asia 2023 di Qatar yang akan bermula dalam masa terdekat.

Woong-jung berkata demikian dalam satu temubual bersama Yonhap News di Korea Selatan beberapa hari lalu dimana beliau menegaskan pasukan negaranya tidak mampu untuk menandingi Jepun.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Korea tidak mampu menandingi Jepun. Kita semua, sebagai pemerhati bola sepak, harus melihat perkara ini secara terperinci.

“Realitinya Korea ketinggalan berbanding Jepun di dalam semua aspek, tak kira daripada segi kebolehan atau pelaburan untuk (pembangunan) bola sepak.

“Mereka tidak akan menjuarai kejohanan ini. Bukan saja saya tetapi semua pemain di Korea Selatan harus merenung kembali mengapa kita gagal menjadi juara sejak 64 tahun lalu.

“Anda mungkin bertanya mengapa saya berkata demikian ketika Son Heung-min adalah kapten pasukan skuad kebangsaan?”

“Sudah tentu saya berharap Korea mampu muncul juara. Tetapi jika menang di mana semuanya serba serbi belum bersedia, maka mereka sekadar berjaya mendapatkan keputusan tanpa sebarang perubahan.

“Saya risau bola sepak Korea akan menjadi semakin tenat. Walaupun jika kita berjaya menewaskan Jepun dengan kemampuan yang kosong, maka kita hanya memperbodohkan diri sendiri. Jadi saya berterus terang, kita tidak akan muncul juara,” katanya.

Korea Selatan diundi di dalam Kumpulan E dan akan memulakan kempen Piala Asia di Qatar menentang Bahrain pada 15 Januari, sebelum berhadapan Jordan selang lima hari kemudian.

Korea Selatan akan menutup perlawanan peringkat kumpulan menentang Malaysia pada 25 Januari akan datang.

Kali terakhir Korea Selatan muncul juara ialah pada edisi 1960 dimana ketika itu mereka berjaya menewaskan Israel pada perlawanan akhir.