Ketika puluhan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) di Malaysia diserbu pihak berkuasa, restoran-restoran milik syarikat itu di luar negara dilihat masih berjalan seperti biasa.
Menurut Malay Mail, walaupun operasi mereka di Malaysia dikaitkan dengan pelbagai dakwaan serius, di luar negara terutamanya di UK, restoran GISB dilihat terus beroperasi tanpa gangguan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan kewujudan beberapa perniagaan GISB di negara itu.
Menurutnya, GISB menjalankan perniagaan yang sah di UK dan beliau menyatakan tiada pemantauan khusus ke atas operasi syarikat tersebut.
Walaupun tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai jumlah sebenar perniagaan GISB di UK, beliau mengakui restoran-restoran berkenaan terus menerima pelanggan seperti biasa.
Situasi ini jelas berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia.
Sejak beberapa minggu lalu, pihak polis Malaysia telah melancarkan “Ops Global”, satu operasi besar-besaran yang menyasarkan rumah kebajikan dan perniagaan milik GISB.
Setakat ini, lebih 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan telah diserbu, ekoran dakwaan serius berkaitan penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak.
Menurut pihak berkuasa, rumah kebajikan GISB yang diserbu didapati tidak berlesen, dan GISB kini disiasat sebagai sebuah sindiket jenayah terancang.
Situasi ini membangkitkan persoalan besar mengenai operasi mereka di dalam dan luar negara.
GISB bukanlah nama asing bagi rakyat Malaysia.
Pada satu ketika, ia dikenali sebagai cabang perniagaan Al-Arqam, sebuah kumpulan yang diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994 atas alasan ajaran sesat.
Namun, GISB terus berkembang, terutama di luar negara dengan restoran mereka yang turut beroperasi di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah.