Selepas menunjukkan penurunan minat dalam pembelian hartanah di AS, golongan berada atau boleh digelar golongan T1 China kini mengalihkan perhatian mereka ke Asia Tenggara, dengan Malaysia menjadi destinasi yang semakin menarik.

Memetik Rnggt, melalui tinjauan Juwai IQI, lanskap destinasi hartanah pilihan golongan maha kaya China telah berubah pada tahun 2024. Thailand kini menduduki di tempat pertama, sekaligus mengatasi AS, diikuti Australia di tempat kedua dan Malaysia di urutan keempat.

Untuk makluman, kedudukan tahun 2024 ini merujuk kepada negara pilihan golongan kaya China untuk pembelian rumah bernilai lebih $5 juta (~RM22 juta).

Malaysia jadi pilihan terbaik

China
Sumber Gambar: WMA Property

Tumpuan yang ada memperlihatkan Malaysia kini menjadi pilihan yang lebih menarik bagi mereka dibandingkan Britain, Korea Selatan, AS, Jepun, Singapura, dan Sepanyol.

Beli untuk kegunaan peribadi berbanding pelaburan

Lebih menarik lagi, tumpuan ini bukan hanya untuk menambah aset, malah 94% pembeli China mengakui membeli rumah di pasaran global adalah untuk kegunaan keluarga, dan hanya 6.5% sahaja untuk pelaburan.

Dengan krisis tarif import global, dijangka Asia Tenggara akan menjadi pilihan yang lebih kukuh bagi golongan kaya China untuk mengembangkan aset mereka.

Ini sebabnya

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansar, berkata laporan itu menghubungkan peningkatan populariti Malaysia dengan gabungan nilai yang baik, sekolah antarabangsa, dasar visa yang lebih bagus, dan gaya hidup yang setanding pasaran yang lebih mewah.

“Ramai pembeli berpendapatan bersih tinggi adalah pengunjung berulang yang menjalin hubungan peribadi dengan negara ini melalui pelancongan, pendidikan, atau perniagaan.

“Ketibaan pelancong China ke Malaysia mencapai hampir 1.2 juta dalam lima bulan pertama tahun 2024. Pemulihan yang pesat itu membawa bersamanya keyakinan pembeli yang lebih besar dan kebiasaan dengan tempatan,” katanya.