Kejohanan Bola Sepak Piala XCRIIM 2025 Peringkat Kebangsaan bagi kategori bawah 10 serta 12 tahun yang diadakan di Taman D.R Seenivasagam, Ipoh berjaya menarik kehadiran 71 pasukan dari seluruh negara.
Pertandingan yang berlangsung semalam dan hari ini itu bukan sahaja menjadi pentas persaingan bagi bakat-bakat pemain cilik, malah ia turut mencerminkan semangat kesukanan dan penyatuan komuniti bola sepak akar umbi dari pelbagai negeri.
Baca Juga:
- Ibu Dulu Ke Akademi Fantasia, Anak Nana Mahazan Pula Ke Akademi Villarreal
- Produk Akademi Sampdoria Dipanggil Perkuat Malaysia
- Roberto Martinez: ‘Assist’ Cristiano Ronaldo Perlu Ditunjukkan Di Setiap Akademi Seluruh Dunia

Selain aksi penuh bersemangat para pemain di atas padang walaupun terpaksa beraksi ketika cuaca panas terik, suasana kejohanan turut meriah dengan kehadiran ibu bapa yang membanjiri lokasi pertandingan bagi memberikan sokongan padu kepada anak-anak mereka.
Kejohanan yang dianjurkan DRZ Football Academy dengan kerjasama jenama sukan tempatan, XCRIIM itu menarik penyertaan 32 pasukan dalam kategori bawah 10 tahun manakala 39 pasukan berentap bagi saingan bawah 12 tahun.
Wakil Dari Selangor, Pulau Pinang Juara Piala XCRIIM 2025
Kategori bawah 10 tahun yang diadakan pada hari Sabtu menyaksikan Gombak Boys muncul juara selepas menundukkan ATM Gladiators 3-0 pada aksi final.
Raintown FC menduduki tempat ketiga manakala Majlis Bandaraya Ipoh (MBO) Soccer Kid di kedudukan keempat.
Bagi kategori tersebut, Aryan Bakhtiar Bahrin dari Gombay Boy telah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Kejohanan manakala Mohd Hadif Haziq (ATM B-10) pula dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik.

Kategori bawah 12 tahun juga berlangsung dengan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain dimana Akademi Wira Muda dari Pulau Pinang meraih kejuaraan hasil kemenangan 2-0 ke atas KPSA A.
Manakala, tempat ketiga menjadi milik MBI Soccer Kids B dan USI FC B menghuni tempat keempat.
Akademi Wira Muda turut mendominasi anugerah individu Piala XCRIIM 2025 setelah Muhammad Khalif Khairul Azmin bergelar Pemain Terbaik Kejohanan dan Muhammad Ammar Naufal dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik Kejohanan.
Sementara itu anugerah Pemain Harapan menjadi milik Muhammad Iqbal Norhisam dari KPSA A.
XCRIIM ialah jenama sukan Malaysia yang diasaskan oleh Encik Lau Hui Kok dengan komitmen terhadap prestasi, inovasi dan semangat untuk mengatasi had diri.

Fokus utama jenama ini adalah pada pakaian dan kasut sukan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak serta remaja termasuk jersi, kasut dan kelengkapan latihan.
Kejohanan Piala XCRIIM 2025 ini juga menandakan inisiatif sulung mereka di peringkat kebangsaan dalam usaha mempromosikan bola sepak akar umbi serta memberi inspirasi kepada generasi baharu melalui sukan.