Gamuda Bhd, syarikat pembinaan dan kejuruteraan gergasi, telah menjual tanah seluas 389 ekar di Port Dickson kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd, iaitu syarikat berkaitan Google, dengan nilai RM455.23 juta, lapor The Edge.
Tanah ini, yang asalnya dirancang untuk projek pusat data oleh Gamuda sendiri, kini akan menjadi tapak mega pusat data milik Google di Malaysia.
Gamuda Kerjasama Dengan Google
Lebih menarik, walaupun tanah itu dijual kepada Google, Gamuda tetap akan terlibat dalam pembangunan bernilai RM1.01 bilion untuk kerja-kerja infrastruktur luar dan kerja tanah.
Ia termasuk pembinaan loji rawatan air baharu dengan kapasiti 65 juta liter sehari yang dijangka siap menjelang suku kedua 2027, dan kemudahan simpanan air luar sungai menjelang akhir 2028.
Semua ini demi memastikan bekalan air stabil untuk operasi pusat data berskala besar itu.
Gamuda menyifatkan projek ini sebagai one-stop solution untuk sektor pusat data yang semakin berkembang, di mana mereka bukan sahaja jual tanah, tetapi turut sediakan semua keperluan seperti sambungan utiliti dan prasarana air.
Pendekatan ini, yang disokong dengan sistem bangunan berindustri moden (IBS), dijangka mempercepatkan pembinaan dan kawalan kualiti yang lebih baik.
Saham Gamuda
Namun begitu, saham Gamuda dilihat sedikit menurun pada hari Isnin, susut 8 sen kepada RM4.32 – penurunan 1.8% dengan nilai pasaran mencecah RM24.9 bilion.
Secara keseluruhan, saham syarikat telah susut 8.3% sejak awal tahun.
Tapi dari sudut jangka panjang, kerjasama ini menunjukkan potensi besar Malaysia sebagai hab digital Asia Tenggara—dan Gamuda sebagai pemain utama yang bantu buka jalan untuk gergasi seperti Google melabur di sini.