Google yang dahulunya dikenali dengan sifat terbuka yang membolehkan pengguna memasang aplikasi pihak ketiga selain daripada kedai rasmi yang disediakan oleh pengeluar sistem operasi.

Nampaknya era kegemilangan Android yang bebas untuk dimodifikasi dan menikmati aplikasi secara ‘pirate’ dijangka bakal berakhir bermula tahun depan apabila inisiatif baru yang dilaksanakan oleh Google dikuatkuasakan kelak.

Android mahu bertukar menjadi seperti iOS?

Memetik laman engadget, Google akan melaksanakan ciri keselamatan baharu yang mewajibkan pembangun aplikasi untuk mengesahkan identiti mereka.

Langkah ini diambil jika pembangun ingin pengguna Android boleh melakukan ‘sideload’ atau memasang aplikasi mereka dari sumber luar Google Play Store.

Google Dijangka Sekat 'Sideload' Aplikasi Bermula 2026, Adakah Malaysia Termasuk Untuk Fasa Awal?
Sumber Gambar: The Guardian

Keputusan ini dibuat setelah analisis mendapati bahawa lebih 50 kali ganda malware berasal daripada aplikasi yang dipasang melalui ‘sideload’ berbanding aplikasi yang tersedia di Google Play.

Dengan mengesahkan identiti pembangun terlebih dahulu, Google berharap dapat melindungi pengguna dengan lebih baik daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan malware dan penipuan.

Google membandingkan proses pengesahan identiti pembangun aplikasi dengan “pemeriksaan kad pengenalan di lapangan terbang.” Ini bermaksud Google hanya akan mengesahkan identiti pembangun dan tidak akan menyemak kandungan aplikasi itu sendiri.

Syarikat itu juga menjelaskan bahawa proses pengesahan ini tidak akan menghalang pembangun daripada mengedarkan aplikasi mereka di mana-mana platform yang mereka mahu, termasuk kedai aplikasi selain daripada Google Play Store.

Negara manakah yang dikuatkuasakan dulu?

Keperluan pengesahan identiti pembangun ini akan mula dilaksanakan pada September iaitu akhir tahun 2026 di Brazil, Singapura, Indonesia, dan Thailand. Pelaksanaan ke seluruh dunia akan menyusul pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.