Betullah kata cendiakawan yang mana jejak digital sememangnya boleh menjadi bahan bukti di kemudian hari.
Siapa sangka dengan aplikasi imej lokasi oleh Google sahaja telah berjaya merungkai sebuah kes pembunuhan misteri pada tahun lalu?
Menurut laporan CBS News, Google Maps telah membantu pihak penyiasat Sepanyol misteri pembunuhan yang berlarutan sejak tahun lalu dengan kewujudan rakaman detik seseorang individu memasukkan sesuatu yang disyaki mayat ke dalam bonet kereta.
Difahamkan polis di wilayah utara Castile dan Leon memulakan siasatan pada November 2023 susulan seseorang melaporkan kehilangan seorang saudara lelaki mereka.
Pegawai berjaya menahan seorang wanita yang merupakan pasangan kepada lelaki hilang terbabit dan juga seorang lagi lelaki yang merupakan bekas pasangannya di wilayah Soria pada 12 November, kata polis dalam satu kenyataan pada Rabu lalu.
Kemudian, polis penyiasat menyerbu rumah suspek dan memeriksa kenderaan mereka tetapi secara tidak sengaja menemui petunjuk yang tidak dijangka semasa pencarian untuk mendapatkan bukti baharu.
Petunjuk yang dimaksudkan adalah “imej dalam aplikasi lokasi” di mana mereka “mengesan sebuah kenderaan yang mungkin telah digunakan semasa kejadian jenayah itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Susulan itu, Media Sepanyol telah mengedarkan gambar tangkapan skrin Google Maps Street View dari Oktober 2024 yang menunjukkan seseorang memasukkan objek yang ditutupi kain putih ke dalam but kereta di kampung Tajueco.
Imej-imej tersebut membantu menyelesaikan kes ini, walaupun ia bukanlah bukti “penentu,” menurut pihak polis.
Pegawai polis juga menyatakan terdapat satu lagi sorotan foto yang menunjukkan bayang-bayang kabur seseorang mengangkut bungkusan putih besar menggunakan kereta sorong, lapor BBC.
Wakil kerajaan pusat di Soria, Miguel Latorre, memberitahu penyiar awam RTVE bahawa individu tersebut boleh dianggap sebagai pelaku.
Pihak polis turut melaporkan bahawa satu bahagian badan manusia yang telah reput, dipercayai milik mangsa, telah ditemui pada bulan ini di sebuah tanah perkuburan di wilayah Soria.
Akhbar harian El Pais melaporkan mangsa adalah seorang lelaki Cuba berusia 33 tahun.
Seorang hakim telah mengarahkan kedua-dua suspek ditahan dan siasatan kes masih diteruskan bagi mendapatkan keadilan sewajarnya.