Bekas pemain skuad kebangsaan, Gopi Rizqi kini menceburi bidang perniagaan apabila beliau menjual air balang sempena bulan Ramadhan.
Menurut pemain itu, langkah ini diambil selepas tidak mendapat gaji selama lapan bulan ketika beraksi bersama salah satu kelab yang berasal dari Lembah Klang.
Baca Juga:
- Giorgio Pompili Rossi Tidak Lagi Bersama MFL
- ‘Sendiri Tak Bayar Gaji Tapi Salahkan FAM Dan MFL’ – Tunku Mahkota Ismail
- Fandi Ahmad – ‘Sri Pahang Ada Peluang Kejutkan JDT’
Gopi Rizqi Jual Air Balang Untuk Teruskan Kehidupan

“Dalam keadaan sekarang ini, sudah lapan bulan saya tidak mendapat gaji, memang sukar dan kami ambil keputusan untuk jual air balang di depan rumah.
“Setakat ini cuma air balang mata kucing dan jagung dijual selain ada sedikit kuih muih. Isteri turut membantu dengan menjual popia carbonara,” katanya.
Gopi Rizqi pernah beraksi dengan beberapa kelab besar dalam saingan Liga Malaysia seperti Sri Pahang, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United, PDRM FC dan juga KL Rovers.
Bekas pemenang Piala Malaysia dan Piala FA itu turut menegaskan beliau berhasrat untuk membantu kanak-kanak khususnya murid sekolah yang bercita-cita untuk menjadi pemain profesional memandangkan beliau mempunyai lesen kejurulatihan.
“Sekiranya diberikan peluang, saya mahu kongsi pengalaman dengan murid sekolah atau sesiapa sahaja sahaja yang berminat dengan bola dan bercita-cita mahu menjadi pemain bola sepak.
“Namun dalam masa yang sama, saya berharap perniagaan air balang ini boleh berkembang,” tambahnya.
Selain Gopi Rizqi, beberapa pemain Kedah Darul Aman turut menceburi bidang perniagaan bagi melangsungkan hidup ekoran tidak menerima gaji untuk satu tempoh masa yang lama.

Dua pemain iaitu Mohammad Fayadh dan Akmal Zahir menjual juadah berbuka puasa iaitu nasi tomato dan ikan bakar di salah satu bazaar Ramadhan di Kedah bagi meneruskan kehidupan setelah lama tidak dibayar gaji oleh majikan.