Naib juara Liga M3, KL Rovers kini berhasrat untuk menyertai Liga Singapura pada musim 2024 selepas Malaysia Football League (MFL) mengumumkan slot ke-14 Liga Super bakal menjadi milik Perlis United.

Menerusi satu surat yang tular di laman sosial, KL Rovers memohon sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memudahkan urusan menyertai Liga Singapura.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Kami yakin setelah bergelar Naib Juara di Liga MBSB Bank Championship selama dua tahun berturut-turut, kami layak untuk bersaing di liga tersebut dan seterusnya mengharumkan nama negara.

“Pihak kami amat berbesar hati agar hasrat kami ini mendapat sokongan dari FAM dengan harapan ianya dapat memberikan lebih banyak peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk menyerlah potensi mereka di liga luar,” tulis petikan daripada surat tersebut.

Sebelum ini, Pengarah KL Rovers FC Sdn Bhd, Ashraf Mazlan mengesahkan syarikat dari China menyatakan minat untuk melabur dan membantu perkembangan pasukan tersebut.

Menurut laporan Berita Harian, syarikat dari China itu sedia melabur kira-kira RM2 juta untuk menjadi pemegang saham utama pasukan itu dengan mereka sudahpun membeli sedikit pegangan saham sebanyak RM1 juta.

Dengan bantuan kewangan yang kukuh, KL Rovers dijangka tidak mempunyai masalah untuk beraksi di Liga Singapura bersaing dengan pasukan seperti Lion City Sailors, Tampines Rovers dan lain-lain.

Kali terakhir pasukan dari Malaysia beraksi di Liga Singapura ialah ketika zaman skuad Harimau Muda hasil perjanjian kerjasama antara FAM dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Sebagai pertukaran, Singapura turut menghantar pasukan mereka yang dikenali sebagai Lions XII beraksi dalam saingan Liga Super.