Persaingan bola sepak di utara tanah air dijangka bertambah rancak musim ini apabila Malaysia Football League (MFL) mengumumkan Perlis United FC (PUFC) akan mengisi slot ke-14 Liga Super musim 2024-2025.

Bagaimanapun, PUFC diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada PUFC dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, dokumen dikemukakan oleh PUFC lebih kukuh berbanding tiga pasukan yang turut memohon lesen luar biasa tersebut.

Tiga kelab tersebut ialah Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT.

“Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

“PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan.

“Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, YAB Tn Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA),” kata Stuart.

Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.

Setiap permohonan perlu melengkapkan kriteria dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.