Pengerusi Jawatankuasa Sukan negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak mengesahkan Perlis United Football Club (PUFC) telah berjaya mendapat tajaan dengan jumlah yang besar daripada sebuah syarikat terkemuka negara.

Difahamkan tajaan tersebut adalah untuk membantu skuad PUFC mengharungi saingan Liga Super pada musim 2024/25.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pasukan yang berpengkalan dari Kangar itu turut menghantar permohonan kepada Malaysia Football League (MFL) untuk menyertai Liga Super.

“Saya difahamkan pada waktu ini memang ada tawaran serta terdapat permohonan daripada PUFC untuk ke Liga Super musim ini malah ia turut diperkuatkan dengan suntikan tajaan daripada beberapa syarikat yang agak besar dengan penajaan ini membolehkan mereka dapat mengharungi saingan Liga Super kali ini.

“Dalam hal ini, kita sebagai kerajaan negeri menyokong andai kata usaha PUFC ini dapat bersaing ke liga berkenaan terutama menerusi penggunaan kemudahan untuk menjalani latihan dan perlawanan sebagai tuan rumah di stadium di negeri ini,” kata Wan Zikri kepada pemberita.

Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan terdapat kekosongan slot ke-14 dalam saingan Liga Super musim ini.

Justeru MFL telah meminta semua kelab M3 AFL yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa pada 18 Januari 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC CLAS akan bermula 19 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024.

Keperluan kriteria untuk mengisi slot Liga Super ini masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa M3 AFL dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.