Rayuan Kelantan FC untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi membolehkan kelab tersebut beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25 ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL.

Perkembangan terkini diumumkan MFL dalam satu kenyataan rasmi itu menyaksikan Kelantan yang bergelut dengan pelbagai isu kewangan pada ketika ini sah tidak akan beraksi dalam kempen Liga Super musim baharu nanti.

Baca Juga:

Kelab yang dipegang Norizam Tukiman itu menerima nasib tersebut selepas gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Selain itu, Kelantan turut perlu mematuhi Langkah Kedua bagi sub-kriteria F.11 bagi penyelesaian (5) lima kes FIFA yang ada keputusan sehingga 31 Ogos 2023 perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.

Oleh kerana gagal untuk menyelesaikan kedua-dua langkah tersebut, Kelantan telah gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024 – 2025.

Bagaimanapun, mereka diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024.

Namun, keputusan rayuan tersebut masih tidak memihak Kelantan dan ia ditolak oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Mohamad Yasin Abdullah itu.

“Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) telah bermesyuarat semalam (16 Januari 2024) dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Kelantan FC untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025 adalah ditolak
selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.”

“Keputusan itu diumumkan kepada pasukan hari ini melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan Kelantan FC tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.”

“Untuk rekod, Kelantan FC sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa AB berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2023 pada 1 Januari 2024.”