Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tiga kelab Liga Super dikenakan denda RM15,000 atas kegagalan melengkapkan laporan kewangan kepada badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB).
Menurut kenyataan MFL, FFP FIB telah selesai melakukan pemeriksaan terhadap laporan kewangan fasa kedua yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super.

Baca Juga:
- Pemerhati Ramal Liga Malaysia Bakal Lingkup Angkara Tunggakan Gaji
- Isu Tunggakan Gaji Tular Ke Futsal, Kem Gombak TOT United Jadi Mangsa
- 5 Pasukan Piala Belia Dan Piala Presiden Berdepan Isu Tunggakan Gaji
Pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa kedua dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.
LAPORAN FFP FASA KEDUA MUSIM 2024-2025
Badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) telah selesai melakukan pemeriksaan terhadap laporan kewangan fasa kedua yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super.
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 27, 2024
“Daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan oleh kesemua kelab Liga Super, didapati bahawa 10 kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.
“Bagaimanapun, tiga kelab pula tidak berjaya dalam proses melengkapkan laporan kewangan itu disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS.
“Oleh itu, sekatan perpindahan pemain sebelum jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 telah dikenakan ke atas kelab-kelab terlibat.
“Namun selepas 30 hari sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 dikenakan kepada tiga kelab tersebut, pihak MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian terhadap tunggakan itu atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak dan menghantar bukti kepada pihak FIB FFP.
“Maka pihak FIB FFP telah menjatuhkan denda dengan serta merta sebanyak RM 15,000 kepada kelab-kelab tersebut,” kata kenyataan rasmi MFL.
Nama tiga kelab tersebut tidak didedahkan namun mereka perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran untuk tunggakan bayaran gaji (pemain, pengawai dan pentadbiran) dan agensi kerajaan (KWSP, LHDN, PERKESO & SIP) dalam masa tempoh 30 hari selewatnya sebelum atau pada 25 Oktober 2024.
Kegagalan, kengganan dan/atau kecuaian tiga kelab ini untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan di atas maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya.