Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah membuka satu kertas siasatan ke atas terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Menurut laporan Astro Arena, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata kertas siasatan yang dibuka untuk menyiasat isu pelanggaran syarat pelesenan kelab ekoran masalah gaji yang dialami oleh kelab Liga Malaysia musim ini.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Perlu Bayar Pampasan Kepada FAM
- Hannah Yeoh Yakin Kepakaran FAM Cari Pengganti Terbaik Untuk Kim Pan Gon
- FAM Pujuk Kim Pan-gon Untuk Kekal Tetapi Gagal
Menurut Windsor, sekiranya kesalahan itu benar berlaku, maka FAM dan MFL berdepan risiko lesen dari beraksi dalam saingan AFC ditarik balik sekaligus tiada wakil Malaysia layak beraksi di pentas Asia.
“Fail siasatan sudah pun dibuka dan langkah seterusnya, kami akan menghubungi MFL dan FAM untuk memulakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Kelab yang akan memantau dan melihat proses pemberian lesen.
“Kesan yang paling berat ialah tiada wakil yang boleh kami terima kerana kuasa mereka (FAM dan MFL) untuk memberikan lesen ditarik balik oleh kami memandangkan terdapat masalah dalam proses pemberian lesen,” katanya.
Beberapa kelab Liga Super menghadapi isu tunggakan gaji dan yang paling mendapat banyak liputan ialah KL City dimana kapten mereka iaitu Paulo Josue sudah 7 bulan tidak menerima gaji.
Ketika membuat pendedahan mengenai masalah yang dialami, pemain naturalisasi itu menegaskan kali terakhir beliau menerima gaji ialah pada bulan Disember tahun lalu dan bukan beliau saja yang berdepan dengan kesukaran dimana rakan sepasukan turut berdepan isu sama.
“Ada pemain KL City mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi terbabit tidaklah seteruk saya kerana kali terakhir dibayar pada Disember tahun lalu.
“Ada yang mengatakan KL City hanya berhutang dua bulan saja. Itu adalah bohong dan boleh berjumpa atau bertanya saya untuk dapatkan kepastian.
“Tanyalah pemain lain sama ada gaji mereka dibayar penuh. Saya rasa perkara itu tidak berlaku,” katanya.