Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memanggil tiga pengadil termasuk Nazmi Nasaruddin ekoran keputusan yang dianggap kontroversi ketika bertugas dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan kelayakan Piala Dunia 2026.

Selain Nazmi, dua lagi pengadil yang dipanggil ialah Ahmed Al-Kaf dari Oman dan Abdullah Al-Jamali dari Kuwait dimana ketiga-tiga pengadil ini akan disiasat.

Baca Juga:

Menurut laporan wartawan Arab Saudi, Nahar Qunais di laman X, berkemungkinan besar tiga pengadil ini bakal menerima hukuman berat seperti digantung daripada bertugas.

“AFC memanggil Ahmed Al-Kaf, Muhammad Nazmi dan Abdullah Al-Jamali dimana mereka akan menjalankan siasatan pasca insiden yang terjadi ketika perlawanan antara Bahrain menentang Indonesia, Al-Ain menentang Al-Hilal serta kes manipulasi keputusan VAR.

“Mereka mungkin digantung daripada mengendalikan mana-mana perlawanan di Asia,” katanya.

Al-Kaf menjadi sorotan selepas beliau meneruskan permainan ketika masa sebenar dan masa tambahan sudah tamat sekaligus membolehkan Bahrain menjaringkan gol penyamaan ketika bertemu Indonesia.

Nazmi Nasaruddin diberikan tanggungjawab untuk memimpin aksi ACL Elite antara Al-Ain menentang Al-Hilal yang mana perlawanan itu diwarnai dengan sembilan gol selain empat layangan kad kuning dan satu kad merah.

Pengadil Malaysia itu melayangkan kad merah buat pertahanan Al-Hilal, Ali Al Bulayhi yang menahan bola menggunakan lengan ketika gerakan serangan yang dilancarkan oleh Al-Ain.

Hatrik Salem Al-Dawsari membantu Al-Hilal menewaskan Al-Ain 5-4. Perlawanan ini turut menyaksikan Neymar membuat kemunculan pertamanya selepas berehat selama 369 hari.

Ini bukan kali pertama Nazmi diberi amanah mengendali aksi ACLE. Sebelum ini, beliau turut diberi tanggungjawab mengendali aksi ACLE antara Central Coast Mariners dan Buriram United pada 1 Oktober lalu.

Selain itu, Nazmi turut diberi kepercayaan mengendali beberapa aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia. Ini termasuk aksi Kumpulan C antara Australia dan China pada 10 Oktober lalu.